PAU2020: Puteri, Pemuda UMNO perlu diberi ruang sebagai calon baharu dalam PRU15
Fareez Azman
Mac 27, 2021 18:50 MYT
Mac 27, 2021 18:50 MYT
KUALA LUMPUR: Sudah sampai masanya UMNO memberi ruang kepada calon muda daripada pemimpin Pergerakan Puteri dan Pemuda UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Demikian jelas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang juga Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ketika berucap sebagai wakil MKT dalam Persidangan Pergerakan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 pada Sabtu.
Ujarnya, generasi muda mempunyai kemampuan dalam mengemudikan parti keramat memenangi PRU15.
"Kita (UMNO) ingin melihat bahawa generasi muda memilih peranan, diberi ruang bersama kerajaan akan datang dimulakan dengan pilihan raya.
"Saya tidak ada hak (untuk memilih calon), yang memilih calon adalah Presiden parti, namun begitu saya akan bagi pandangan dan nasihat. Wanita muda, Pemuda hendaklah diberikan tempat sebagai wakil calon PRU akan datang, sama ada di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya.
Tambah Tajuddin, sudah tiba masanya juga UMNO memberi laluan kepada pelapis pemimpin untuk diketengahkan.
"Saya melihat kemampuan orang muda begitu hebat. Saya banyak berjumpa dengan wanita muda dan Pemuda, ramai antara mereka mempunyai idea lebih hebat.
"Sebab itu sudah sampai masanya, setiap kawasan Parlimen mengandungi beberapa kerusi DUN, sekurang-kurangnya satu kerusi diberi kepada Puteri dan Pemuda UMNO, ini caranya kalau kita nak beri peluang generasi muda sebagai pelapis," jelasnya lagi.
Bagaimanapun jelas Tajuddin, pada masa sama pemimpin senior juga perlu membimbing pelapis baharu wakil rakyat UMNO untuk terus berkhidmat kepada rakyat.
#UMNO
#Pemuda UMNO
#Puteri UMNO
#PRU
#Parlimen
#pilihan raya
#wanita
#kerajaan
#presiden
#perhimpunan
#pemuda
#pilihan raya umum
#Puteri
#calon
#Tajuddin Abdul Rahman