PAU2020: Pemuda, Puteri UMNO sokong Undi 18 dipercepatkan
Ridauddin Daud
Mac 27, 2021 18:28 MYT
Mac 27, 2021 18:28 MYT
KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan pendaftaran pemilih automatik dan Undi 18 boleh dilaksanakan hanya selepas 1 September 2022, bukan pada tahun ini.
Kenyataan itu sekali gus menimbulkan rasa kurang senang pelbagai pihak yang mendesak ia dilaksanakan segera memandangkan Parlimen sudah pun meluluskannya.
Pemimpin muda UMNO yang ditemui ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 turut mendesak perkara sama.
Bendahari Pemuda UMNO Selangor, Muhammad Noor Azman menegaskan, Undi 18 harus dilaksanakan segera kerana golongan itu juga mempunyai hak untuk mengundi.
Tegasnya, sekiranya SPR mungkin sukar untuk melaksanakan pendaftaran secara automatik, mengapa tidak golongan muda dibenarkan untuk mendaftar sendiri.
“Perlu dipercepatkan, sudah pasti. 18 tahun sudah boleh kahwin, dah boleh enter into binding contract, kenapa tidak boleh mengundi? Beri peluang mereka mengundi,” katanya kepada Astro AWANI pada Sabtu.
Ketua Puteri UMNO Sabah, Fadilah Sarbi pula berkata, tiada masalah untuk melaksanakan Undi18 namun golongan muda, bermula dari sekolah menengah perlu didedahkan dengan ilmu terutamanya berkaitan pilihan raya dan negara.
[INFOGRAFIK] Apa itu Undi18?
“Tiada masalah jika semua pihak telah bersedia apa lagi dengan anak-anak kita kerana mereka adalah peneraju Malaysia pada masa akan datang tetapi saya ingatkan, perlu ada pendidikan yang sebaiknya tentang kerajaan dan kewarganegaraan,” ujarnya.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Selangor, Mohd Sharizal Shahri pula berpendapat golongan muda harus diberi peluang untuk memilih kerajaan mengikut kehendak mereka.
“Pada masa sama kita juga kena maklumkan kepada mereka ini supaya mereka tahu berkenaan pilihan raya supaya mereka faham pilih kerajaan bukan memilih sebuah organisasi tetapi memilih kerajaan.
“Tapi kita beri peluang kepada anak muda berusia 18 tahun ini,” katanya.
SPR | Undi18, daftar pemilih automatik tidak sempat 2021
Menurut Exco Puteri UMNO, Izzana Salleh golongan itu mempunyai kematangan.
“Kita perlu beri kepercayaan kepada orang muda supaya kita dapat meremajakan lagi negara. We have to keep up with the times,” katanya.
Buat Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tenggara, Manndzri Nasib pula, Undi 18 memberi makna yang lebih besar dalam konteks politik negara.
“Saya rasa tiada masalah (pelaksanaan Undi 18). Akan sampai masanya juga nanti pelaksanaan Undi 18 ini akan dilaksanakan dan saya rasa ia wajar.
“Ia akan menyuburkan, menggemburkan dan memberikan makna yang lebih besar kepada politik dan demokrasi di Malaysia,” katanya.
#UMNO
#Pemuda UMNO
#Puteri UMNO
#Suruhanjaya Pilihan Raya
#SPR
#Undi18
#pilihan raya
#politik
#Parlimen
#muda
#Belia
#18 tahun
#PAU
#Perhimpunan Agung UMNO