PAU2020: 'Pas akan kalah semua kerusi di Johor jika kekal dengan PN' - Hasni
Firdaus Azil
Mac 28, 2021 18:49 MYT
Mac 28, 2021 18:49 MYT
KUALA LUMPUR: Jika Pas kekal dengan UMNO di bawah Muafakat Nasional (MN), parti itu dijangka akan memenangi kesemua kerusi yang ditandingi di Johor pada pilihan raya umum (PRU) kelak, kata Pengerusi Badan Perhubungan Johor, Datuk Hasni Mohammad.
Namun, kata Menteri Besar Johor itu lagi, jika Pas memilih untuk bersama-sama dengan Perikatan Nasional (PN), berkemungkinan besar parti itu akan kalah kesemua kerusi yang ditandingi.
Beliau berkata, perkara itu telah pun disampaikan kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Mat dalam pertemuan mereka baru-baru ini, bagi memaklumkan hasrat PN untuk membenarkan parti itu bertanding 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Saya beritahu mereka secara jujur, mereka akan kalah kesemua kerusi, sebagaimana yang terjadi pada dahulu. Pada 2018, walaupun Barisan Nasional (BN) menghadapi banyak cabaran, namun Pas hanya mampu menang satu kerusi, tetapi kami menang 19 kerusi.
“Tetapi saya juga beri jaminan kepada mereka, jika Pas masih kekal dengan MN, walaupun kerusi yang ditandingi tidak sebanyak dahulu, mereka akan tetap menang kerusi yang mereka tandingi,” katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020), hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, UMNO Johor perlu diberi autonomi untuk menentukan strategi bagi menghadapi pilihan raya di negeri tersebut.
Tambahnya lagi, autonomi itu dirasakan perlu memandangkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor merupakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Jangan amalkan kuota (dalam kalangan BN). Jika benar kita parti dominan, perancangan dan strategi kita harus berlandaskan data dan sains,” katanya lagi.
Biarpun UMNO Johor sebelum ini bercadang untuk memutuskan untuk memberi laluan kepada Muhyiddin untuk terus bertanding di Pagoh, Hasni berkata, sokongongan terhadap Perdana Menteri jauh lebih rendah berbanding sokongan terhadap UMNO.
Memetik kajian yang dijalankan oleh UMNO Johor, Hasni berkata, sokongan kepada PN di Pagoh adalah 19.8 peratus, BN (24.4 peratus) manakala MN (37.1 peratus).
“Ini bererti Perdana Menteri lemah di kawasannya sendiri. Kalau jeneral (Muhyiddin) berperang esok, akan diganggu gugat oleh UMNO Pagoh, mudahlah kerja UMNO untuk kembali menawan negara ini.
“Sebab itu saya katakan tadi, beri autonomi kepada Johor. Biar kami rancang cara mana dan bagaimana untuk kami melemahkan Bersatu di Johor ini, kerana pengerusinya adalah Perdana Menteri yang akan membawa segala bentuk kekuatan untuk pastikan beliau dan partinya kekal berkuasa di Johor,” katanya lagi.
#Hasni Mohamad
#UMNO Johor
#Muhyiddin Yassin
#PPBM
#Barisan Nasional
#Menteri Besar
#Perikatan Nasional
#pilihan raya umum
#perhimpunan
#Perdana Menteri