PAU2020: Menumpang biarlah pada yang kuat, bukan yang membawa rebah - Zahida

Rahimah Abdullah
Mac 27, 2021 13:12 MYT
Pergerakan Puteri UMNO mendesak parti itu segera mengkaji semula keputusan sama ada untuk bersama atau tidak lagi dengan kerajaan.- Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Pergerakan Puteri UMNO mendesak agar parti itu segera mengkaji semula keputusan sama ada untuk bersama atau tidak lagi dengan kerajaan.
Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, kerajaan sekarang tidak popular dan UMNO tidak boleh berharap kepada pentadbiran yang membawa rebah.
"Bahkan nama-nama parti yang menjadi tunggak pemerintahan sekarang pun semakin tidak popular. Personaliti pemimpin kerajaan sekarang pun tidak popular. Menumpang biarlah pada yang kuat, jangan menumpang kepada yang membawa rebah.
"Jadi sebab itu sempena dengan Perhimpunan Agung kali ini kita meminta parti untuk mengkaji semula keputusan yang dibuat untuk bersama dengan kerajaan sehingga Parlimen dibubar atau tidak lagi bersama kerajaan dengan seberapa segera," katanya semasa Ucapan Dasar Ketua Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU2020) di sini, pada Sabtu.
Katanya lagi, UMNO perlu cepat bertindak atau parti terus terperangkap dengan keputusan yang tidak popular dibuat kerajaan.
"Kita tidak tahu bilakah Parlimen akan dibubar. Tidak mustahil keadaan seperti ini akan diheret sehingga tahun 2023 dan lebih banyak kerosakan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat dan kita terpaksa pikul beban bersama.
"Kesian menteri-menteri kita, mereka terpaksa menjawab banyak keputusan-keputusan yang tidak popular dan mengarut oleh kepimpinan kerajaan. Sokongan parti kepada kerajaan katanya sememangnya bersifat sementara untuk memberi kestabilan kepada negara akibat kemelut peletakan jawatan Perdana Menteri ke-7.
"Lebih-lebih lagi ketika itu negara dan dunia baru dilanda wabak COVID-19. Perang melawan COVID menuntut kita memberi kerjasama kepada kerajaan ketika itu sehinggalah hari ini. Kita sedar dan turut bertanggungjawab dalam memberi kestabilan ketika negara melawan COVID. Namun, kerjasama sewaktu perang sepatutnya berakhir sebaik sahaja perang reda," tegasnya lagi.
Justeru, hubungan dengan parti Bersatu katanya hanyalah sehingga Parlimen dibubarkan dan tiada sebarang kerjasama dengan parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
"Keputusan parti mesti dihormati. Prinsip parti menguasai kerajaan mesti kita pertahankan," kata Zahida lagi.
Malah, Puteri UMNO mahu menteri-menteri dari parti itu bukan sahaja terus menjadi penyumbang kepada negara, bahkan dinaikkan ke martabat yang lebih tinggi.
Syaratnya, kerajaan yang memerintah mestilah kerajaan yang diterajui oleh UMNO dan Barisan Nasional.
"Kita tidak mahu sekadar berada di pentas yang sama tetapi hanya sebagai penyanyi latar. UMNO parti besar, mesti menjadi pemain utama dalam menentukan dasar dan masa depan negara," tambah beliau.
#UMNO #Puteri UMNO #Parlimen #kerajaan #perhimpunan #rakyat #Puteri #PAU #PAU2020 #Pergerakan Puteri UMNO #Ketua Puteri UMNO #Zahida Zarik Khan #PRU15
;