PAU2020: Masukkan agenda 30 peratus calon wanita dalam perlembagaan parti - Wanita UMNO

Isabelle Leong
Mac 27, 2021 17:56 MYT
NORLIZA: 'Kami amat berharap kepimpinan parti dapat memberikan lebih peluang dan ruang seluas-luasnya kepada calon wanita pada PRU pada kali ini.' - Foto Astro AWANI/ISABELLE LEONG
KUALA LUMPUR: Wanita UMNO mendesak supaya agenda 30 peratus perwakilan wanita diberi peluang untuk menjadi calon pada pilihan raya akan datang dimasukkan dalam perlembagaan parti.
Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata apabila ia sudah bertulis dan termaktub dalam perlembagaan parti, maka perkara tersebut dapat dilaksanakan dengan lebih mudah.
“Kami sentiasa memperjuangkan 30 peratus penglibatan wanita sebagai calon PRU (Pilihan Raya Umum) dan juga sebagai pembuat keputusan.
“Kami ialah tulang belakang parti dan mempunyai keahlian teramai dalam parti serta sudah tentu mempunyai ramai wanita yang berkaliber dan berpengalaman.
“Saya cukup yakin mereka ini dapat memimpin dan kami rasa sudah sampai masanya kami berbuat sesuatu agar wanita mendapat tempat,” kata Norliza ketika ditemui pemberita sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU2020) di sini, pada Sabtu.
Tambahnya, beliau berharap kepimpinan parti dapat memberi lebih ruang dan peluang kepada perwakilan wanita dalam parti tersebut untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang bakal menjelang.
“Kami berharap dan yakin di bawah kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan mengutamakan kerusi-kerusi dan penglibatan wanita (dalam PRU akan datang).
“Ia kerana beliau yakin entiti wanita yang begitu besar dengan kesetiaan dan keikhlasan serta tanggungjawab yang telah kami korbankan.
“Kami amat berharap kepimpinan parti dapat memberikan lebih peluang dan ruang seluas-luasnya kepada calon wanita pada PRU pada kali ini,” katanya.
Terdahulu, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad mendesak kepimpinan parti itu supaya 30 peratus wanita diberi peluang untuk menjadi calon dalam PRU15.
Dr Noraini berkata UMNO sebagai parti yang bangun dan berdiri atas sokongan wanita sejak 1946 mesti menjadi peneraju dalam agenda tersebut.
BACA: PAU2020: UMNO-Bersatu tidak boleh 'tidur sebantal' - Noraini
#Wanita UMNO #perwakilan wanita #calon pilihan raya #pilihan raya umum #UMNO #Norliza Abdul Rahim #PRU #Zahid Hamidi #Dr Noraini Ahmad #Ketua Wanita Umno
;