PAU2020: Kerusi UMNO bukan 'talian hayat' buat pihak lain - Tok Mat
Fauzi Suhaimi
Mac 27, 2021 11:30 MYT
Mac 27, 2021 11:30 MYT
KUALA LUMPUR: UMNO bertegas untuk tidak akan memperjudikan mana-mana kerusi miliknya kepada parti lain khususnya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Tegas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, kerusi UMNO adalah milik parti itu sejak dahulu, kini dan selamanya.
Katanya, Ia bukan untuk dilepaskan demi memberi talian hayat kepada mana-mana pihak.
"Jangan ada yang cuba untuk mengilas tangan UMNO. Kita tidak akan mengalah. Kita tidak akan melatah.
"UMNO tidak akan terpedaya, dengan retorik kepentingan ummah dan perpaduan Melayu yang dibuat-buat," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Serentak Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, perpaduan ummah dan penyatuan Melayu mesti dipimpin oleh UMNO dan bukan menjadi umpan undi oleh pendusta politik, yang bernaung dengan ‘kuasa tanpa mandat’ dan tanpa kekuatan sebenar.
"Yang pasti, dalam hasrat kita untuk memimpin semula Malaysia, UMNO tidak akan mendesak sesiapa untuk menyertai Barisan Nasional (BN).
"Sebaliknya, kita akan menggunakan pendekatan 'Bekerja dengan BN'. Agar satu keampuhan politik, boleh dibentuk untuk mengurus negara selama lima tahun mendatang, dengan stabil dan cemerlang," ujarnya lagi.
#Mohamad Hasan
#UMNO
#Puteri UMNO
#Barisan Nasional
#pilihan raya umum
#perpaduan
#politik
#Malaysia
#Melayu
#kerusi
#PAU2020
#Tok Mat
#Politik Malaysia