PAU2020: Kepimpinan kabur dan kabus, kuasa pada perwakilan

Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Hamid Jumat
Mac 26, 2021 04:58 MYT
Ketetapan untuk tidak bersama Bersatu sebagaimana diputuskan oleh majoriti resolusi di mesyuarat bahagian-bahagian UMNO di seluruh negara harus diangkat dan diluluskan. - Foto fail
PERHIMPUNAN Agong UMNO 2020 pada 27 dan 28hb Mac ini berkemungkinan besar merupakan persidangan yang terakhir dan yang terpenting sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Kita akan berhimpun ketika kepimpinan tertinggi parti dan beberapa menteri UMNO dalam kerajaan sekarang berada di dalam keadaan yang bercanggah pendirian dan pandangan.
Malah, presiden parti tidak menampakkan daya untuk bersuara atau mengambil tindakan yang tegas ke atas mereka yang tidak mengikut arahan atau keputusan parti.
Atas 'kebijaksanaan' beliau sendiri, parti kini berdepan dengan Ahli Parlimen UMNO yang menggunakan kebebasan yang telah beliau sendiri berikan untuk berpihak dengan mana-mana parti atau kuasa yang mereka mahu, baik dari kerajaan mahupun pembangkang.
Ternyata, 'senjata' yang telah presiden serahkan kepada mereka-mereka ini telah digunakan untuk 'menikam' dirinya sendiri. Beberapa menteri UMNO secara berterus terang ingkar akan arahan parti.
Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pula dianggotai oleh mereka yang tidak berpengalaman. Hanya beberapa kerat yang bersuara kuat menampakkan mereka lebih berpengetahuan daripada yang lain. Mereka yang berani pula telah dipecat.
Dalam keadaan sekarang, kita hanya boleh mengharapkan perwakilan yang akan hadir di PAU sebagai faktor 'penyelamat'.
Merekalah yang boleh mendesak pucuk pimpinan parti mengambil tindakan, drastik atau sebaliknya dalam menentukan hala tuju kita berdepan dengan PRU15 yang akan diadakan tidak berapa lama lagi.
Ketetapan untuk tidak bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagaimana diputuskan oleh majoriti resolusi di mesyuarat bahagian-bahagian UMNO di seluruh negara harus diangkat dan diluluskan.
Tindakan tegas ke atas pemimpin-pemimpin yang ingkar secara terbuka wajib diambil tanpa was-was oleh Lembaga Dispilin UMNO demi untuk menjaga decorum di dalam parti walaupun keputusan itu mungkin akan menyebabkan mana-mana pihak dipecat.
Kita tidak mahu penyakit melawan keputusan parti ini merebak dalam kalangan ahli-ahli nanti. Hala tuju yang selama ini kabur dan kabus di bawah kepimpinan Presiden sedia ada boleh ditetapkan oleh para perwakilan UMNO di perhimpunan ini.
Di perhimpunan inilah terletaknya peluang untuk membantu Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi yang agak lemah selama ini untuk mencorak langkah kita seterusnya.
Perkuatkan ukhwah dalam kalangan kita, bermula dengan pucuk pimpinan dan menteri-menteri UMNO yang wajib diarah untuk patuh kepada keputusan parti.
Rumusannya, di akhir perhimpunan Ahad ini, semua pemimpin UMNO wajib sedar bahawa ketaatsetiaan mereka mesti terletak kepada UMNO dan bukannya kepada kerajaan sekarang.
Jika tidak, kita akan terus melukut di tepi gantang selepas PRU15 nanti, apabila parti yang lebih kecil daripada UMNO terus memegang kuasa seperti sekarang.
Tidak boleh kita nafikan ahli UMNO di peringkat bawahan tersedia bersatu, taat dan kuat. Tetapi yang perlu kita perbetulkan ialah pucuk kepimpinan atasan dalam parti kini dan yang di dalam Kabinet iaitu mereka yang mementingkan diri dan kedudukan mereka sendiri dan bukan kepentingan parti yang memperjuangkan agama, bangsa dan negara.
Kepada Allah berserah.

* Penulis adalah mantan ADUN Kempas (2013-2018) dan memegang keahlian UMNO 01059553.
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#UMNO #perhimpunan #PRU #kabinet #mkt #Bersatu
;