PAU2020: Kalau ikhlas, kenapa 'warisan' PH masih ada dalam kerajaan? - Asyraf Wajdi
Madiha Abdullah
Mac 27, 2021 14:05 MYT
Mac 27, 2021 14:05 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu membuktikan kata-kata bahawa mereka mampu membawa perubahan positif, seperti yang pernah dijanjikan.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, setakat ini, masih banyak saki baki 'warisan' kerajaan Pakatan Harapan tersisa dalam era pemerintahan hari ini.
"Jika benar PN kunci perubahan, mengapakah polisi PH yang ditentang sebelum ini masih kekal? Mengapa penganiayaan politik PH masih diteruskan?
"Mana keadilan apabila pemimpin UMNO yang kononnya terima peruntukan dari 1MDB, didakwa di mahkamah sedangkan pengkhianat yang terima peruntukan serupa tak didakwa, malah terus jadi suci dan dilantik sebagai menteri apabila lompat parti?
"Mana keadilan apabila anggota keluarga bekas Gabenor Bank Negara yang mengakui mengetahui ratusan juta wang dikatakan ada kaitan dgn 1MDB dalam akaun tak didakwa, sedangkan pemimpin UMNO pantas didakwa?
"Jadi siapa yang khianat, siapa yang tak jujur dalam muafakat? Sekiranya ikhlas, kenapa amalan pendakwaan warisan PH masih diteruskan?" tanya beliau.
Asyraf berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO, hari ini.
Mengimbas sirah perjuangan sahabat Rasulullah SAW, Ali bin Abi Thalib dalam perang Siffin, kata Asyraf, itulah hakikat politik ketika ini yang menyaksikan perpecahan akibat kepentingan diri sendiri.
"Zaman sekarang, kita lihat kemunculan ramai watak-watak berkepentingan seperti ini.
"UMNO masih mempunyai maruah dan harga diri. Jangan jolok sarang tebuan, kerana sengatannya masih berbisa.
"Pemuda tegas mendesak kepimpinan parti agar tak beri muka, jangan beri tempat pada mereka dalam pemilihan akan datang dan menolak watak-watak hipokrit ini," katanya.