PAU2020: Fokus kepada tawaran ekonomi yang realistik, radikal - Shahril
Astro Awani
Mac 27, 2021 05:29 MYT
Mac 27, 2021 05:29 MYT
KUALA LUMPUR: UMNO perlu memberi fokus kepada soal tawaran ekonomi yang realistik kepada rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan menjelaskan, ia perlu radikal dan mudah difahami serta bukan panjang berjela seperti aku janji umum.
"Mesti realistik, tetapi mesti berani. Mesti radikal, mesti khusus dan mudah faham, bukan panjang berjela dan terlalu klise, terlalu biasa, tiada yang radikal, tidak ada yang menarik, tidak ada yang merombak struktur ekonomi.
"Sekadar tambah perasa, tambah cili, tetapi masih dalam kerangka yang lama, tidak mencerminkan UMNO yang berani menongkah arus," katanya semasa ucapan penangguhan Naib Ketua Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 semalam.
Jelasnya, UMNO perlu berani memberi jaminan menyelesaikan masalah antaranya pengangguran dan mencuba mengaplikasinya kepada pekerja di bawah umur 35 tahun sebagai permulaan.
Ujarnya, parti juga perlu menyebut mahu membantu usahawan dengan penyelesaian digital yang jelas dan bukan menambah senarai latihan atau pinjaman.