PAU2020: Berubah atau sebaliknya?
Kenyataan Media
Mac 28, 2021 09:50 MYT
Mac 28, 2021 09:50 MYT
SEMALAM tirai PAU 2020 disingkap dengan ketiga-tiga sayap utama UMNO iaitu Wanita, Pemuda & Puteri memulakan persidangan masing-masing. Majlis pembukaan persidangan ketiga-tiga sayap tersebut dirasmikan oleh Timbalan Presiden UMNO Datuk Sri Mohamad Hassan atau lebih popular dengan gelaran Tok Mat. Telah menjadi tradisi parti UMNO, di mana persidangan sayap-sayap UMNO, perasmiannya dilakukan oleh Timbalan Presiden. Oleh kerana pentas perasmian persidangan sayap-sayap UMNO merupakan pentas khas buat Timbalan Presiden, maka pentas rasmi [official stage] tersebut dilihat sebagai ruang yang paling signifikan dan sangat bermanfaat untuk seorang Timbalan Presiden menyerlahkan kewibawaan kepimpinan khususnya dari sudut wawasan kepimpinan, hala tuju dan visi parti. Apatah lagi dalam keadaan dan situasi serta kemelut yang sedang melanda kepimpinan politik UMNO pasca PRU14; tuntutan dan harapan ahli parti serta massa Melayu untuk kepimpinan tertinggi mengungkap sesuatu yang konkrit bagi mendepani dan mengharungi masa mencabar adalah sangat didambakan.
Justeru itu lah, ucapan perasmian Tok Mat untuk ketiga sayap-sayap parti adalah sangat dtunggu dan dinantikan oleh ahli dan khalayak umum Melayu. Ianya bukan sekadar sebuah ucapan perasmian yang bersifat formaliti, tetapi lebih daripada itu. Ini kerana PAU 2020 merupakan sebuah persidangan parti yang sangat berbeza dari persidangan-persidangan sebelumnya. Mengapa? Tidak perlu saya kupas dan menjelaskan mengapa, kerana saya percaya majoriti malah tidak keterlaluan kalau saya katakan semua ahli parti dan khalayak umum tahu mengenainya.
Tok Mat menyatakan dalam ucapannya, untuk UMNO bangkit dan kembali menjadi sebuah parti yang bersifat tunjang dan tulang belakang kepada pembangunan dan perkembangan politik Malaysia seperti mana sebelumnya [PRU14] suatu bentuk atau suatu usaha yang disebut oleh beliau [Tok Mat] sebagai pembaikian politik [political correctness] perlu dilakukan oleh UMNO. Saranan Tok Mat tentang perlunya pembaikian politik dilakukan sangat saya sokong dan beliau beroleh dukungan kuat dari Bahagian saya berkenaan usaha tersebut. Namun, Tok Mat tidak menyatakan dengan jelas bagaimanakah langkah atau strategi PEMBAIKIAN POLITIK hendak dilakukan? Beliau seolah-olah bersifat “malu-malu kucing” atau “malu tapi mahu” atau dalam bahasa politik disebut sebagai segan dan berat hati [politically reluctant] untuk menyatakan dengan sifat “sudah terang lagi bersuloh”.
UMNO sememangnya perlu melakukan pembaikian politik untuk kembali memperoleh sokongan dan dokongan khalayak khususnya bangsa Melayu. Langkah asas pertama yang paling penting dilakukan oleh UMNO sebagai satu usaha pembaikian politik ini adalah pembaikian struktural yang menurut hemat saya mestilah bersifat pembaikian dan pembetulan yang menyeluruh [total overhaul] dalam konteks kepimpinan dan gaya kepimpinan yang ada dalam parti UMNO itu sendiri. Kepimpinan yang UMNO ada masa kini dilihat dan dipersepsikan oleh khalayak banyak Bangsa Melayu sebagai sebuah bentuk kepimpinan yang punya liabiliti dan imej negetif kepada kelangsungan UMNO untuk berhadapan dengan cabaran PRU15 akan datang. Pernyataan saya ini bukan bersifat membawang atau disandarkan kepada gosip-gosip liar media sosial; ianya merupakan sebuah pernyataan yang dirangkum dari sebuah pemerhatian yang ilmiah semenjak 6 bulan yang lalu. Maka, proses pembaikian politik yang segera perlu dilakukan oleh UMNO adalah dengan mengambil ketetapan dan tindakan rasmi untuk meNYAHkan mana-mana pemimpin yang punya liabiliti kepada proses pembaikian politik tersebut pada setiap strata lapisan kepimpinan UMNO. Pembaikian politik kedua yang segera perlu dilakukan oleh UMNO adalah membersih dan membuang imej parti feudal [warlord] dalam UMNO. Gaya kepimpinan UMNO sangat sinonim dengan imej feudal yakni sekian lama dikuasai oleh kelompok, kumpulan atau kartel tertentu. Imej demikian memberi mesej kepada khalayak bahawa mobiliti-kepimpinan adalah sangat rigid dalam konteks UMNO. Situasi ini jika tidak dilakukan pembaikian, bakal menjauhkan generasi muda untuk mendekati UMNO apatah lagi untuk mereka memberi undi kepada kita [UMNO].
Dua bentuk pembaikian politik yang saya nyatakan di atas adalah bersifat sesegera dan secepat mahu yang MESTI dilakukan oleh UMNO. Mengapa saya berkata demikian? Ini kerana kedua-dua “kejulingan” tersebut merupakan “kejulingan” struktural yang menghambat dan menghalang sebarang bentuk usaha UMNO pasca PAU 2020 untuk melangkah dengan baris yang “sederap” dalam usaha memperkemaskan UMNO selaku sebuah pasukan yang mantap dan berwibawa bagi menhadapi saingan politik lawan pada PRU15 yang akan datang. Sehinggalah kita menunjukkan iltizam politik (political will) yang tinggi dengan nada yang bukan retorik untuk memperbetul struktur dalaman kepimpinan kita sendiri [UMNO]; adalah suatu yang usaha yang sia-sia untuk bercakap dan berkokok tentang aspek kerusi kita adalah kerusi kita dan kita tidak akan berkompromi. Perubahan dan pembetulan struktural inilah yang diinginkan khalayak untuk dilihat wujud dalam UMNO sebelum PRU15.
Ikhlas dari saya demi agama, bangsa dan watan.
Datuk Zakaria Dullah
Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam
#PAU2020
#UMNO
#PRU14
#politik
#wanita
#media sosial
#Melayu
#Perhimpunan Agung UMNO
#ucapan perasmian
#pembaikian politik
#PRU15
#retorik
#iltizam politik
#pembetulan struktural
#Zakaria Dullah