PAU2020: Belum ada keputusan minta Menteri UMNO tarik diri - Shamsul Anuar

Fareez Azman
Mac 28, 2021 14:22 MYT
SHAMSUL ANUAR:"UMNO adalah parti berprinsip berpegang kepada agenda dan ideologi parti terus kita pertahankan." - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Pemimpin UMNO yang memegang jawatan Menteri di dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sedia akur sekiranya parti itu membuat keputusan agar Menteri UMNO menarik diri dari kerajaan.
Ujar Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah bagaimanapun keputusan itu hanya akan diketahui selepas perbahasan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri selesai pada petang ini.
"UMNO adalah parti berprinsip berpegang kepada agenda dan ideologi parti terus kita pertahankan.
"Apa juga keputusan yang diputuskan oleh parti, pasti sebagai pemimpin kita akan akur. Parti belum buat apa-apa keputusan, perbahasan masih lagi berlangsung.
"Kita belum buat apa apa keputusan, sebagai pemimpin kita kena akur keputusan yang parti putuskan, sebab kita tidak boleh letakkan agenda peribadi lebih daripada parti," katanya ketika ditemui media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) hari ini.
BACA: Ahli UMNO pegang jawatan menteri, timbalan menteri perlu tarik diri serta-merta - Ku Li
Beliau yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah yang mengesa semua ahli parti memegang jawatan dalam Kabinet kerajaan PN supaya menarik diri serta merta.
Jelas Tengku Razaleigh, ia termasuk pemimpin UMNO yang diberikan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Veteran UMNO itu berkata tindakan itu selari dengan cadangan UMNO Bahagian yang mengadakan mesyuarat perwakilan untuk memutuskan kerjasama dalam PN.
#Tengku Razaleigh Hamzah #UMNO #GLC #Media #kerajaan #menteri #politik #Menteri UMNO #tarik diri #PAU2020 #Perhimpunan Agung UMNO #Bersatu #PPBM
;