PAU2019: 'Baru 18 bulan kita dah merempat... mana jati diri orang UMNO?'

Rahimah Abdullah
Disember 7, 2019 11:24 MYT
OMAR: Mana jati diri orang UMNO? Mana jati diri pemimpin UMNO? Tak ada. Kalau tak ada jati diri, tak usah jadi pemimpin.
Perwakilan UMNO Pulau Pinang menghangatkan Perhimpunan Agung UMNO 2019 apabila membangkitkan isu wakil rakyat UMNO yang berjumpa dengan menteri tidak lama selepas BN menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.
Datuk Omar Faudzar mengecam tindakan itu walaupun didakwa untuk mendapatkan peruntukan kerajaan.
"Rupanya ada yang jumpa menteri lepas menang. Kita dah kuat kenapa nak pi jumpa. Bukan masalah ini sudah lepas, tetapi saya nak kena jawab dengan ahli.
"Saya cakap kepada kawan saya di Bukit Gelugor bahawa saya tak mau jawab, saya cakap saya nak jawab pada perhimpunan hari ini," katanya semasa membahaskan dasar ucapan presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, pada Sabtu.
Tegasnya, alasan untuk mendapatkan peruntukan tidak boleh diterima kerana enam wakil rakyat yang keluar UMNO sebelum ini juga menggunakan sebab yang sama.
"Kalau nak bagi alasan nak jumpa sebab peruntukan, enam orang keluar dulu juga sebab peruntukan. Saya tanya mereka, jawapan mereka, kami ingat kami keluar yang lain pun keluar, tetapi kami enam orang saja yang keluar.
"Kita dok kata PH 'kencing', tetapi kita dalam UMNO pun kena 'kencing', apa nak jadi? Lepas itu ada lagi pergi nak mintak peruntukan. Lepas itu pergi lagi jumpa nak minta peruntukan," tambahnya.
Justeru, sebagai sebuah persatuan, UMNO tidak boleh menerima tindakan umpama 'anai-anai', katanya lagi.
"Saya nak beritahu 18 bulan kita jadi pembangkang, berpuluh tahun Pas jadi pembangkang, berpuluh tahun PKR jadi pembangkang... pernah tak PKR, Pas merempat minta peruntukan daripada UMNO? Ini baru 18 bulan, kita dok mai merempat dah.
"Mana jati diri orang UMNO? Mana jati diri pemimpin UMNO? Tak ada. Kalau tak ada jati diri, tak usah jadi pemimpin," tegas beliau.
Beliau turut mengecam wakil rakyat berkenaan kerana lebih menurut kata orang luar berbanding presiden parti.
"Saya tahu betul, mereka ada dalam dewan ini, tetapi kita duduk dalam persatuan, kita ada presiden, jadi ikut cakap presiden, kalau tak mau ikut cakap jangan duduk dalam persatuan.
"Saya tegur sebab dalam setiap penyakit ubat paling baik adalah ubat paling pahit. Jadi ini ubat pahit terimalah," ujarnya.
Selain itu, beliau juga bertegas supaya presiden parti perlu bersikap tegas dalam berdepan dengan permasalahan seperti itu.
#Barisan Nasional #Omar Faudzar #PAU2019 #Perhimpunan Agung UMNO 2019 #Pusat Dagangan Dunia Putra #PWTC #UMNO
;