PAU2017: Universiti Al-Quran formula kembalikan Kelantan kepada BN

Marlina Manaf
Disember 9, 2017 11:30 MYT
Penubuhan Universiti Al-Quran di Kelantan, yang diyakini antara faktor mampu jadi pemangkin kepada usaha UMNO untuk menawan kembali negeri itu dari tangan PAS - fotoAstroAWANI
Penubuhan Universiti Al-Quran di Kelantan, diyakini antara faktor mampu jadi pemangkin kepada usaha UMNO untuk menawan kembali negeri itu dari tangan PAS.
Perwakilan dari Negeri Cik Siti Wan Kembang, Amran Ariffin memaklumkan negeri itu sedia menawarkan tempat untuk pembinaan universiti berkenaan, bagi menyediakan laluan kepada pelajar jurusan Tahfiz melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Ini bagi menjayakan sasaran kerajaan melahirkan 125,000 Tahfiz di seluruh negara.
"Kelantan sedia dan memerlukan penubuhan Universiti Al-Quran, malah, kami juga sedia, masih ada banyak tanah di Kelantan untuk pembinaan universiti," kata beliau ketika menyokong usul agama dan pendidikan pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU2017) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Menurut Ammar, UMNO terbukti meletakkan isu agama di peringkat tertinggi, ini termasuk dengan pembinaan masjid-masjid bagi mengukuhkan syiar Islam.
Malah di Kelantan sendiri, banyak masjid dibina ketika era pemerintahan Barisan Nasional pada 1990-an.
Kerana itu, beliau yakin, UMNO akan tawan kembali Kelantan, pada Pilihan Raya Umum ke-14.
"Sebagai wakil Kelantan, kepimpinan Tok Pa (Datuk Seri Mustapa Mohamed) dan barisan kepimpinan yang ada ni, solidariti mereka terserlah, gabungan lama dan baru dan semua ini beri gambaran, PRU-14, Kelantan bakal jadi milik Barisan Nasional," katanya.
#Al-Quran #Barisan Nasional #BN #Kelantan #PAS #PAU2017 #Perhimpunan Agung UMNO #PRU-14 #tahfiz #UMNO #UMNO 4 0
;