PAU2017: Tiada pertandingan nombor satu dan dua elak perpecahan parti
Astro Awani
Disember 8, 2017 20:45 MYT
Disember 8, 2017 20:45 MYT
Usul agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan dapat mengelakkan sebarang perpecahan yang boleh merugikan dalam persiapan menjelang Pilihan Raya Umum 14 (PRU-14).
Ketua UMNO Maran, Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib berkata, usul itu juga bukti semangat parti dalam perwakilan kepada jawatan pertama dan kedua tertinggi itu.
"Jawatan presiden dan timbalan presiden merupakan dua jawatan yang amat penting dalam parti dan kedua-duanya mestilah perlu dua individu yang rapat sebagai tulang belakang parti, jadi saya amat menyokong apabila usul Pemuda agar jawatan berkenaan tidak dipertandingkan.
"Kita tahu biasanya dalam pemilihan mana-mana parti, biarpun tak berlaku perpecahan besar tapi lazimnya akan ada berlaku sedikit rasa tak puas hati antara penyokong setiap calon bertanding.
"Bagi jawatan-jawatan lain (selain presiden dan timbalan presiden) itu boleh kita izinkan," katanya semasa Perhimpunan Agung UMNO 2017 di sini hari ini.
Ismail yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia turut mengingatkan ahli parti sentiasa setia kepada perjuangan parti serta menerima setiap keputusan yang dibuat pucuk pimpinan.
Katanya, tindakan mensabotaj parti hanya akan merugikan parti dan memberi kesan kepada penerimaan pengundi atas pagar yang bukan di kalangan ahli parti.
"Bagi pengundi atas pagar, hari ini kita melihat banyak kawasan Parlimen yang dipengaruhi oleh pengundi atas pagar yang bukan ahli parti, tapi mereka masih sayang kepada kerajaan walaupun bukan ahli parti.
"Pengundi atas pagar akan melihat bagaimana kita kendalikan dan mentadbir negara, jika kita silap dalam menjaga rakyat tak mustahil mereka akan memilih parti lawan," katanya.