PAU2017: Penggulungan Presiden UMNO cermin kesediaan ahli hadapi PRU14 - Bastien

Astro Awani
Disember 9, 2017 15:00 MYT
BASTIEN: Rakyat melihat kejayaan yang dicapai oleh Malaysia menjadi bukti kesungguhan UMNO selama ini. - Gambar fail
Kemuncak penggulungan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak mencerminkan kesediaan dan semangat ahli UMNO untuk menempuh Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14)
Ketua Pemuda UMNO Segamat, Bastien Onn berkata, ia juga pesanan pemimpin tertinggi parti yang menyuntik semangat dan persediaan ahli menghadapi pilihanraya.
"Kesediaan perwakilan juga dipandu dengan keyakinan selepas mendengar perbahasan dari seluruh pelusuk tanah air.
"Mereka membawa pengalaman dan pengajaran yang dikongsi bersama di atas pentas persidangan," katanya semasa ditemui sebelum Penggulungan Presiden UMNO pada Persidangan Agung UMNO di sini, hari ini.
BACA: PAU2017: Ucapan penangguhan Najib tumpuan hari terakhir perhimpunan
BACA: PAU2017: Perwakilan cadang Hishammuddin menang Naib Presiden tanpa bertanding
Tegasnya, paling penting adalah pesanan dan harapan pimpinan tertinggi UMNO terutamanya Datuk Seri Najib, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan ketua-ketua sayap parti.
"Ia akan dicorak dan diderapkan senada dan seirama agar dapat kita menghadapi pembangkang dengan lebih efektif semasa PRU-14 di kawasan masing-masing.
"Tidak ada lagi kita bertelingkah mahupun berbeza pendapat untuk bertempur menghadapi pembangkang bila pilihanraya nanti," jelasnya.
Ujarnya lagi, penggulungan Presiden UMNO juga akan menaikkan semangat perwakilan UMNO menjadi semakin tinggi dan membara menjelang PRU-14.
"Apa yang menarik, pimpinan tertinggi juga dapat mendengar harapan, permasalahan dan cadangan-cadangan perwakilan dari semua negeri. 'It's a two ways communication'.
"Inilah ramuan kesinambungan UMNO dan Barisan Nasional (BN) mentadbir negara selama tujuh dekad.
"Rakyat melihat kejayaan yang dicapai oleh Malaysia menjadi bukti kesungguhan UMNO selama ini.
"Kejayaan melaksanakan persidangan kali ini merupakan sebahagian daripada proses penambahbaikkan dan usaha UMNO memperbetulkan mana-mana isu yang memberi keuntungan kepada rakyat," katanya.
Tegasnya, ucapan Datuk Seri Najib juga menjadi bukti UMNO terus menjadikan khidmat bakti sebagai tunjang perjuangan parti untuk selamanya.
#Barisan Nasional #Hishammuddin Hussein #Najib Razak #PRU-14 #UMNO #UMNO 4 0 #Zahid Hamidi
;