PAU2017: Pas sendiri kata Pakatan Harapan ada pemimpin 'penyangak' - Najib
Wan Syamsul Amly, Harits Asyraf Hasnan, Hafiz Marzukhi
Disember 7, 2017 11:20 MYT
Disember 7, 2017 11:20 MYT
Pakatan Harapan disifatkan sebagai gabungan parti yang lebih banyak bersandiwara daripada memperjuangkan hal ehwal rakyat.
Malah, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Pas sendiri pernah menyebut dalam Pakatan Harapan ada pemimpin 'penyangak'.
"Ini bukan kita yang kata. Presiden Pas (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) sendiri pernah menyebutnya. Ini kerana Pas pernah bergabung dengan PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan DAP, maka tentu sekali mereka lebih tahu siapa penyangak dan siapa pemimpin sejati," kata Datuk Seri Najib.
Tambah beliau, amalan ini berbeza daripada UMNO dan Barisan Nasional yang mengamalkan pendekatan memujuk dan mempersatu demi memperkukuhkan parti serta Kerajaan.
"Dalam kata lain, UMNO mengamalkan politik sihat serta cenderung kepada politik pemersatuan yang tidak berwatak 'kaki gaduh', apatah lagi untuk mengaibkan, sampai sanggup membunuh karekter lawan," katanya.
Selain itu, beliau menempelak Pakatan Harapan kerana tidak dapat menyelesaikan kemelut dalaman parti sendiri.
"Pihak pembangkang sampai hari ini, masih tidak sepakat tentang keputusan menerima sistem GST, ada kata GST diterima tetapi zero rated, ada pula ingin kembali kepada SST.
"Itulah dia pembangkang. The only thing consistent with them as the opposition is that they are continuously inconsistent. (Satu perkara yang konsisten dengan pembangkang adalah mereka sentiasa tidak konsisten),'" katanya lagi.
#DAP
#Datuk Seri Najib Tun Razak
#Pakatan Harapan
#PAS
#PAU 2017
#PKR
#Presiden UMNO
#UMNO
#UMNO 4 0