PAU2017: Nostalgia dongeng umpama berskandal dengan Miss Universe - Khairy
Harits Asyraf Hasnan
Disember 6, 2017 10:25 MYT
Disember 6, 2017 10:25 MYT
Nostalgia dongeng perlu ditangkis dan ditentang kerana ia memberikan gambaran seolah-olah keadaan dahulu lebih baik daripada sekarang.
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menegaskan, persembahan nostalgia gandingan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh pakatan pembangkang hanyalah harapan palsu yang digula-gulakan.
Malah, jelas Khairy, hubungan itu lebih kepada nostalgia yang diubah dan ditokok tambah sekaligus tersasar dari realiti.
"Tetapi bahayanya ialah apabila kita dijamukan nostalgia yang diubah, ditokok tambah, sehingga lebih sudu dari kuah. Nostalgia mimpi di siang hari, tersasar jauh dari realiti dan memori yang sengaja diolah semula agar menyimpang dari kebenaran.
"Kekasih pertama sebenarnya tak cantik manapun, tetapi nostalgia yang direka seolah-olah berskandal dengan Miss Universe," katanya semasa menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO pada persidangan pergerakan itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Tegasnya, rekod lama yang digembar-gemburkan pembangkang itu perlu dikaji semula supaya pengundi muda tidak mudah membuat kesimpulan.
"Jawapan saya, sejarah lalu perlu dikaji dan difahami, agar kesimpulan mudah tidak dibuat pengundi muda.Agar pengundi muda tidak senang-senang membuat penaakulan mantik bahawa zaman dahulu lebih baik daripada sekarang," katanya.
#Datuk Seri Anwar Ibrahim
#Khairy Jamaluddin
#nostalgia
#PAU2017
#Pemuda UMNO
#politik
#skandal Miss Universe
#Tun Dr Mahathir Mohamad
#UMNO 2017