PAU2017: Hanya dua kerusi Naib Presiden dipertandingkan?
Wan Syamsul Amly, Harits Asyraf Hasnan, Hafiz Marzukhi
Disember 8, 2017 14:50 MYT
Disember 8, 2017 14:50 MYT
Tiga pemimpin teratas UMNO kekal dengan jawatan yang dipegang masing-masing.
Datuk Seri Najib Tun Razak akan kekal sebagai Presiden UMNO manakala Naib Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang kini menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden akan kekal memegang jawatan itu.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan kekal memegang jawatan sebagai Naib Presiden.
"Semalam kami telah mengambil ketetapan bahawa jawatan Naib Presiden - biarpun disandang oleh tiga orang tetapi oleh kerana seorang sahaja penyandang tunggal maka kami menerima bahawa jawatan seolah-olah naib presiden kanan ini harus diberikan kepada Hishammuddin.
"Ini adalah satu kaedah di mana kami memikirkan bahawa fokus kita harus kepada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan tidak ada gerak kerja dalam parti bagi menghadapi pemilihan tahun hadapan.
"Ertinya ketiga-tiga pemimpin utama dalam UMNO akan meneruskan tanggungjawab mereka yang telah diberikan kepercayaan sebulat suara oleh para perwakilan," katanya pada sidang media bersama Hishammuddin di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Sementara itu, Hishammuddin berkata, keputusan itu menunjukkan proses demokrasi di dalam UMNO masih subur.
"Saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Usul dan Jurucakap rasa begitu terharu kerana sifat inklusif dan proses demokrasi yang tak boleh kita rancang dalam UMNO ini apabila (usul tersebut) dibawa oleh akar umbi sendiri.
"Usul itu juga merupakan pendirian peribadi saya lebih awal iaitu jawatan presiden dan timbalan presiden bersandarkan kepada keinsafan bahawa sesungguhnya tumpuan mesti berikan sepenuhnya kepada PRU14 sekaligus menuntut para perwakilan memahaminya," katanya.
Persetujuan pindaan usul tersebut bermakna, hanya dua jawatan Naib Presiden yang akan di pertandingkan pada Pemilihan UMNO yang dijadualkan pada tahun hadapan.
#Hishammuddin Hussein
#kekal jawatan
#Najib Razak
#pemilihan
#Pemilihan UMNO
#presiden
#UMNO
#UMNO 4 0
#Zahid Hamidi