PAU2017: Demi Selangor, teruskan perjuanganmu Jamal - Zaidi

Khairunnisa Kasnoon
Disember 7, 2017 18:34 MYT
Wakil Pulau Pinang Datuk Muhd Zaidi Said ketika membahaskan usul sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini. - Foto BERNAMA
Masyarakat perlu mengehadkan kuasa viral di media sosial demi mengawal hak pengguna dalam berbelanja.
Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Zaidi Said berkata, kegagalan menangani isu itu membuka risiko penjual menyalahgunakan sistem dalam perniagaan.
Jelasnya, aktiviti jual ikan murah yang dibuat Ketua UMNO Sungai Besar dalam menangani permasalahan harga mahal barangan basah harus dicontohi.
"Kalau kita biar kuasa viral ini terlalu lama, ikan kembong sekilo RM30, kita percaya pada awalnya, kita perlu bertindak pantas untuk tangani kuasa viral yang boleh rosakkan negara kita.
"Kalau kita biar dan buat yang sepatutnya tidak tegas, ia boleh meranapkan negara kita menjelang PRU-14," katanya semasa sesi bahas ucapan dasar Presiden UMNO di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Jualan ikan segar dengan harga patut yang digerakkan Gabungan NGO Malaysia dengan kerjasama Barisan Nasional (BN) di beberapa lokasi di Selangor sejak Oktober lalu ternyata cukup istimewa di hati rakyat.
Dalam erti kata lain, tidak keterlaluan jika dikatakan rakyat Selangor kini menanti-nanti bila Datuk Seri Jamal Md. Yunos selaku penggerak utama program itu mahu ke kawasan mereka untuk menjual makanan laut tersebut.
Dalam pada itu tegas Zaidi, pelbagai 'kerja gila' Jamal yang dilakukan selama ini sebenarnya lambang kesusahan rakyat di Selangor.
"Datuk Seri Jamal Yunos, dia boleh buat macam-macam, dia boleh bawa keranda pergi pejabat SUK, dia boleh pakai kain tuala dan selit berus gigi di telinga masuk SUK.
"Bayangkan kalau nana nana (merujuk beberapa pemimpin UMNO di Pulau Pinang) pakai kain tuala, kalau kami ketua-ketua bahagian buat perangai macam tu, saya rasa Guan Eng pun lari. Tapi saya tidak buat macam itu.
"Biarlah Jamal seorang buat, tidak apa, tapi itu tidak semestinya melambangkan sikap semua ketua bahagian," ujarnya.
Katanya lagi, biarlah Jamal seorang sahaja yang bertindak sedemikian.
"Jadi kalau apa yang semua Datuk Seri Jamal buat itu dianggap perangai ketua bahagian lain, inilah yang menyekat kebebasan kita untuk bertindak kepada pelampau-pelampau di luar itu.
"Bila kena pada pembangkang, mereka kata itu tindakan individu, bukan mewakili parti. Tetapi bila kena pada pemimpin UMNO, bila tersalah cakap, itu mewakili parti, bukan individu. Ini tidak adil," ujarnya.
Zaidi turut berharap Jamal meneruskan 'perjuangan gila' itu untuk memastikan Selangor berjaya dirampas semula BN pada PRU akan datang.
#Barisan Nasional #Jamal Md Yunos #NGO #PAU2017 #Perhimpunan Agung UMNO #PRU #Selangor #SUK selangor #UMNO #UMNO 4 0
;