PAU2017: Calon muda, 30 peratus kuota wanita dijangka jadi fokus Ahmad Zahid - Perwakilan

Harits Asyraf Hasnan
Disember 5, 2017 16:51 MYT
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada perasmian Mini Konvensyen Penerangan UMNO sempena Perhimpunan UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini. - foto BERNAMA
Kuota calon pilihan raya mewakili ketiga-tiga sayap dijangka menjadi fokus menjelang Perasmian Sayap Pergerakan Wanita dan Pemuda, Perhimpunan Agung UMNO (PAU2017), 8 malam ini.
Beberapa perwakilan dari Pemuda, Wanita dan Puteri melihat ia seiring dengan usaha meremajakan UMNO pada masa sama menampil pemimpin muda dan wanita dalam pentadbiran negara pasca Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.
Naib Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Datuk Najmil Faiz Mohamed Aris berkata usaha meletakkan golongan muda sebagai calon pilihan raya perlu direalisasikan seiring kehendak zaman dan keperluan percambahan idea golongan itu.
"Mungkin boleh diberi peluang yang lebih banyak untuk diwakili oleh anak-anak muda yang mana sudah menjadi trend zaman sekarang yang mana perlukan idea dan revolusi baru.
"Pemikiran kini tidak sama berbanding suatu ketika dahulu di mana cara kita mendekati orang muda, cara kita bermedia, cara bergerak berbeza. Jadi perkara-perkara tersebut perlu ada kombinasi orang tua dan muda," katanya ketika ditemui Astro AWANI di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Kenyataan Najmil itu seiring harapan Exco Pemuda UMNO Malaysia, Anuar Abdul Manap yang menjangkakan pengumuman Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan memfokuskan calon pilihan raya.
"Ini boleh menjadi indikator kepada kita untuk dipilih sebagai calon dan jadi pilihan kepada kepimpinan parti untuk terus memilih orang muda bagi memimpin pilihan raya akan datang.
"Saya yakin dan saya percaya mungkin ada beberapa perkara menarik yang akan diumum malam ini dan mungkin salah satu perkara yang menarik itu ialah memberi lebih ramai peluang kepada orang muda pada kali ini," ujarnya.
Sementara itu, bagi perwakilan Pergerakan Wanita UMNO pula, mereka mengharapkan pengumuman Ahmad Zahid malam ini berkisar pelaksanaan 30 peratus calon wanita bagi pilihan raya akan datang.
"Tolong pastikan sekurang-sekurangnya 30 peratus kuota calon diberikan kepada pergerakan Wanita UMNO.
"Kita tidak mahu perkara ini disebut-sebut sahaja tetapi kita nak sebut dan lakukan kerana kami telah buktikan mengenai kerja kuat kami dalam Jalinan Rakyat (JR) Wanita UMNO di peringkat cawangan, bahagian dan negeri," kata Ketua Wanita UMNO Bahagian Langkawi, Hisham Suhaily Othman.
"Perjuangan kuota 30 peratus yang diperjuangkan kami wanita yang diketuai Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil itu diterima pakai, iaitu untuk meletakkan calon daripada wanita mesti diusahakan.
"Pada masa sama, boleh juga meletakkan yang lebih itu untuk senator," jelas Ketua Wanita UMNO Teluk Kemang, Safiah Sidek.
Mewakili suara pergerakan puteri, Ketua Puteri UMNO Kuala Pilah, June Artisha Nazari menjelaskan ini merupakan platform terakhir Ahmad Zahid kepada perwakilan sayap menjelang pilihan raya umum akan datang.
"Mungkin (pengumuman) dari segi kesiapsiagaan Puteri menghadapi PRU14 di mana itu memang agenda utama kerana ini adalah perhimpunan dan amanat terakhir sebelum PRU14," katanya.
#agenda #Astro #Astro Awani #calon #Exco #Langkawi #Malaysia #pemuda #Pemuda UMNO #perhimpunan #pilihan raya #pilihan raya umum #presiden #PRU14 #Puteri #Puteri UMNO #PWTC #rakyat #Shahrizat Abdul Jalil #UMNO #wanita #Wanita UMNO #Zahid Hamidi
;