PAU2016: Presiden UMNO minta jentera sedia berdepan cabaran, kata barisan kepimpinan
Rahimah Abdullah
November 29, 2016 20:51 MYT
November 29, 2016 20:51 MYT
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyampaikan taklimat kepada perwakilan parti yang diadakan secara tertutup pada petang hari pertama Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada Selasa.
Antara intipati yang dinyatakan oleh beliau adalah mengenai usaha memperkukuh kebersatuan anggota parti dan keperluan bagi UMNO untuk berkhidmat sepenuh hati demi rakyat.
Berikut adalah antara reaksi barisan kepimpinan parti terhadap amanat Presiden parti berkenaan.
Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata, Presiden parti mahukan UMNO menjadi parti yang terus membela suara rakyat.
“Presiden mahukan UMNO menjuarai rakyat, iaitu untuk membawa dan menyantuni rakyat serta kekal sebagai parti yang sentiasa membela rakyat.
“Ada disebutkan secara umum bahawa ‘edah’ pilihanraya itu tidak berapa lama lagi ada maka jentera parti diminta supaya membuat persiapan untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) pada bila-bila masa sahaja,” ujar Annuar.
Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Idris Jusoh menyifatkan amanat Presiden parti sebagai pencetus semangat.
“Ia memberi semangat baru kepada orang UMNO bahawa perjuangan ini peru ditegakkan dan kita akan menjadi lebih kuat seterusnya mendapat kemenangan pada PRU akan datang,” ulas beliau ringkas.
Pendapat itu turut dipersetujui Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin yang menganggap semangat itu diperlukan untuk menangani cabaran.
“(Amanat Presiden) telah meniupkan semangat untuk UMNO menghadapi cabaran akan datang. (Presiden juga) meminta jentera membuat persiapan awal untuk menghaapi PRU yang tidak tahu bila (akan diadakan). Namun, semboyan telah dibunyikan untuk kita jalankan tugas bagi memastikan UMNO sedia menghadapi PRU,” kata Khairy.
Bagi Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin, sudah tiba masa UMNO perlu terus bekerja dan bergerak ke hadapan.
“Saya melihat ucapan Presiden kali ini adalah untuk kita terus berjalan ke hadapan dan supaya kita terus mengukuhkan saf serta jentera perpaduan di akar umbi demi menggalas tanggungjawab.
“Cabaran adalah kira cukup besar di hadapan kita, dan tiada pilihan selain untuk menang pada PRU yang akan datang. Presiden berkata, memang ini merupakan masa untuk kita bekerja terus kerana tiada masa lagi. Inilah masanya,” ujar beliau.
Bagi Exco Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Norsabrina Mohd Noor, amanat Presiden UMNO kali ini bersifat mengejutkan.
“Taklimat hari ini adalah sesi yang memeranjatkan kami kerana Presiden telah berkongsi satu cerita rahsia yang menyentuh hati kami, iaitu mengenai apa yang dilalui oleh Presiden termasuk semua halangan dalam parti sehingga kini.
Menurut Norsabrina, perkara yang penting adalah Datuk Seri Najib sudah membunyikan semboyan dan jentera parti perlu melakukan tindakan yang drastik untuk memenangi lebih banyak kerusi.