PAU2016: Jaga tata susila semasa bahaskan usul, ucapan dasar presiden - TPM Zahid
Rahimah Abdullah
November 29, 2016 16:23 MYT
November 29, 2016 16:23 MYT
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yakin Perhimpunan Agung UMNO 2016 akan memberi kelainan berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Beliau pada masa sama, mengingatkan perwakilan agar menjaga tata susila dan adab semasa membahaskan usul dan ucapan dasar presiden.
"Perwakilan terutama jurucakap, mereka tahu garis panduan, tata etika, dan ketatasusilaan untuk melontar pandangan sepanjang perbahasan," katanya semasa ditemui media selepas merasmikan Laman Media Perhimpunan Agung UMNO 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan buku Gendang Perang PRU: Strategi Kukuhkan Parti di sini hari ini.
LAPOR LANGSUNG Perhimpunan Agung UMNO 2016 (Hari Pertama)
Buku setebal 101 muka surat hasil tulisan Timbalan Perdana Menteri itu memperincikan 10 masalah dalam UMNO yang perlu diselesaikan bagi memastikan pemimpin dan akar umbi bersatu demi kemenangan parti pada PRU ke-14.
Bagaimanapun, beliau yakin semua perwakilan memahami peraturan dan etika masing-masing dalam menyuarakan pendapat semasa persidangan itu.
"Namun, saya yakin mereka tetap akan bangkit isu yang menjaga kepentingan Islam tanpa ketepikan agama lain, membangkitkan isu Melayu tanpa ketepi kaum lain, dan bercakap isu berdasarkan kepada ucapan dasar presiden dan ketua masing-masing, presiden serta usul-usul agama serta usul pendidikan," katanya lagi.
Perhimpunan Agung UMNO 2016 bermula 29 November dan berakhir 3 Disember ini.
Ia melibatkan lebih 5,000 perwakilan termasuk dari pergerakan wanita, pemuda dan puteri UMNO.
Antara yang menjadi tumpuan hari ini ialah Majlis Taklimat Presiden yang akan menyampaikan amanat penting kepada kepimpinan peringkat majlis tertinggi, exco pergerakan sayap, dan bahagian yang diadakan secara tertutup.