PAU pentas terbaik Zahid Hamidi terangkan 'kerjasama UMNO dengan DAP, PH' - Aziz
Astro Awani
Mac 20, 2021 17:22 MYT
Mac 20, 2021 17:22 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu menerangkan kepada akar umbi mengenai dakwaan isu kerjasama dengan DAP-Pakatan Harapan (PH) semasa ucapan presiden parti pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) hujung bulan ini.
Pemangku Ketua UMNO Bahagian Jeli, Datuk Aziz Derashid menegaskan, ia sekali gus akan merungkai pelbagai spekulasi yang tersebar di media sosial mengenai isu berkenaan.
Jelasnya, ia juga mungkin menjawab persoalan yang timbul berhubung gambar-gambar keakraban Ahmad Zahid dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim suatu masa dahulu.
Katanya, penjelasan itu akan menepis segala dakwaan bahawa wujudnya hubungan yang melanggar dasar parti, 'No DAP, No Anwar'.
"Jadi kita nak minta Presiden berterus terang dan memberikan gambaran sejelas-jelasnya tentang keadaan yang berlaku ini.
"Sekarang ini banyak sangat gosip merata-rata terutama di media sosial mengenai hubungan UMNO-PKR-DAP malah kedudukan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekali pun. Jadi kita minta presiden tidak menimbulkan masalah dalam kalangan ahli-ahli," katanya semasa dihubungi pada Sabtu.
Anwar sebelum ini mendedahkan telah wujud perbincangan tidak rasmi antara kedua-dua parti itu selain mengakui perbincangan awal melibatkan pimpinan kedua-dua parti telah menunjukkan perkembangan positif.
Bagaimanapun, Anwar menjelaskan, agak terlalu awal untuk mengatakan ada perjanjian atau persefahaman antara UMNO dan PKR.
Sebelum ini juga, Ahmad Zahid pernah menyatakan bahawa beliau tidak dapat menghalang mana-mana Ahli Parlimen UMNO yang ingin menyokong PKR.
Dalam pada itu kata Aziz, hampir semua bahagian UMNO di seluruh negara sedang mempersiapkan kawasan masing-masing untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ujarnya, ia tugas Ahmad Zahid untuk memberi penentuan arah kemenangan parti pada PRU15 nanti.
Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menjelaskan, PAU 2020 dijadualkan berlangsung pada 27 dan 28 Mac depan.
Katanya, keputusan itu dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti dan ia bakal berlangsung secara kombinasi iaitu perhimpunan secara bersemuka dan maya.
#Anwar Ibrahim
#Zahid Hamidi
#UMNO
#PAS
#PKR
#DAP
#PAU 2020
#Perhimpunan Agung UMNO
#UMNO Jeli
#Aziz Derashid