PAU medan terbaik akar umbi suarakan pendirian
Astro Awani
Mac 21, 2021 09:32 MYT
Mac 21, 2021 09:32 MYT
KULAI: Perhimpunan Agung UMNO (PAU) medan terbaik akar umbi suarakan pendirian untuk parti itu memilih rakan muafakat politik.
Pandangan semua pihak perlu diambil kira memandangkan isu berkenaan satu keputusan besar buat parti.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kulai, Mohd Kamal Ulum Morsin menjelaskan ada segelintir akar umbi UMNO yang menyatakan pendirian menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Akar umbi menolak kerjasama dengan PPBM pada PRU15 nanti dan kita menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri sehingga PRU15," jelasnya.
Dalam pada itu, Ketua Puteri UMNO Bahagian Kulai, Nina Rozeyantee Abu Sahir pula berkata semangat ahli-ahli UMNO terutamanya akar umbi akan menjadi lemah jika DAP dijadikan rakan muafakat politik parti itu.
"Pendirian daripada Puteri Kulai sendiri, kami tidak menyokong Bersatu ataupun PN dan selagi Bersatu masih mengambil kerusi UMNO, kita tetap akan menentang," ujarnya.
Nada sama diluah Ketua Penerangan Puteri UMNO Bahagian Kulai, Nurul Faizzie Ahmad Arsani.
"Melihat situasi senario politik semasa, saya berpendapat jika UMNO ingin bekerjasama dengan PN, ia hendaklah atas keputusan semua dan tidak berpihak mana-mana parti.
"Maksudnya situasi menang-menang.
"Saya juga bertegas menolak kerjasama dengan Bersatu terutamanya DAP kerana ia akan melemahkan lagi semangat ahli-ahli UMNO terutamanya akar umbi yang selama ini menyokong kita.
"Kita tidak ingin kerjasama dengan DAP kalau boleh sampai bila-bila. Itu pendirian saya," tegasnya.
Sebelum ini, terdedah surat UMNO kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan pendirian menolak kerjasama dengan Bersatu.
Menurut Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, hasrat Bersatu menyertai Muafakat Nasional (MN) mendapat maklum balas kurang baik daripada ahli UMNO peringkat akar umbi.
Ujarnya, isu berkenaan akan dibincangkan dengan teliti sebelum Perhimpunan Agong UMNO pada 27 dan 28 Mac ini.
#UMNO
#PAU
#PRU15
#Bersatu
#Perhimpunan Agung UMNO
#Mohd Kamal Ulum Morsin
#Nina Rozeyantee Abu Sahir
#Mohamad Hasan
#PPBM
#Muhyiddin Yassin
#DAP
#pilihan raya umum