PAU 2024: Tiada pemimpin utama parti politik Kerajaan Perpaduan hadir - Asyraf Wajdi

Syafik Shukri Jalil
Ogos 14, 2024 14:16 MYT
Tahun lalu, PAU mencipta sejarah menyaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali menjejakkan kakinya ke persidangan itu selepas 25 tahun. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 yang akan berlangsung pada 21 hingga 24 Ogos ini tidak akan menyaksikan kehadiran pemimpin utama parti politik dalam Kerajaan Perpaduan seperti tahun lalu.

Ringkasan AI
  • Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 yang akan berlangsung pada 21 hingga 24 Ogos ini tidak akan menyaksikan kehadiran pemimpin utama parti politik dalam Kerajaan Perpaduan seperti tahun lalu.
  • PAU kali ini akan berbincang dan mendalami isu-isu melibatkan parti tersebut.
  • Tahun lalu, PAU mencipta sejarah menyaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali menjejakkan kakinya ke persidangan itu selepas 25 tahun.

Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, ini bagi membolehkan perhimpunan yang berlangsung memberi ruang sepenuhnya kepada keluarga UMNO berbincang dan mendalami isu-isu melibatkan parti tersebut.
‘’Kali ini kita (UMNO) dah berbincang di peringkat majlis pimpinan Kerajaan Perpaduan untuk PAU tahun kedua kita bersama dalam Kerajaan Perpaduan ini, kita memfokuskan kepada keluarga UMNO terlebih dahulu sebab tahun pertama hari itu kita dah membuat jemputan.
‘’Insya-Allah mungkin tahun depan atau tahun sebelum pilihan raya biasanya, begitu juga dengan waktu kalau ingat waktu dulu dengan Muafakat Nasional pun begitu juga kita jemput waktu tahun yang kedua baru kita ada jemputan.
‘’Kali ini kita akan memberikan ruang seluas-luasnya kepada keluarga besar UMNO untuk berbincang secara kekeluargaan dalaman, tidak ada pemimpin utama parti yang datang kali ini, ini macam ada kesepakatan bersamalah,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Auditorium UMNO, Menara Dato Onn WTC, di ibu negara pada Rabu.
Tahun lalu, PAU mencipta sejarah menyaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali menjejakkan kakinya ke persidangan itu selepas 25 tahun.
Kali terakhir Presiden Parti Keadlian Rakyat (PKR) itu berucap pada PAU adalah pada 1998 sebagai Timbalan Presiden UMNO.
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, yang juga Naib Yang Dipertua Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof.
Pemimpin PH lain turut serta iaitu Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick.
Hadir sama, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran.
#PAU 2024 #UMNO #Kerajaan Perpaduan
;