PAU 2024: Pemimpin dan ahli UMNO perlu sentiasa hantar mesej yang baik - Mohamad

Syafik Shukri Jalil
Ogos 24, 2024 19:49 MYT
Mohamad turut mengingatkan pemimpin dan ahli UMNO untuk tidak sesekali mendabik dada susulan kemenangan dalam PRK Dun Nenggiri di Kelantan baru-baru ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pemimpin dan ahli UMNO perlu sentiasa menghantar mesej yang baik kepada orang Melayu dan mengelakkan daripada mengucapkan sesuatu yang hanya mampu mengundang kemarahan.

Ringkasan AI
  • Pemimpin dan ahli UMNO perlu sentiasa menghantar mesej yang baik kepada orang Melayu dan mengelakkan daripada mengucapkan sesuatu yang hanya mampu mengundang kemarahan.
  • Mohamad turut mengingatkan pemimpin dan ahli UMNO untuk tidak sesekali mendabik dada susulan kemenangan dalam PRK Dun Nenggiri di Kelantan baru-baru ini.

Demikian mesej Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyifatkan sokongan orang Melayu kini mula kembali terarah kepada parti itu.
"Kita dah dapat merasai bagaimana parti kita tenteram aman dan sejahtera, orang dah mula melihat kita semula, orang Melayu dia memang nak balik kepada kita tetapi terpulanglah kepada kita untuk menggamit mereka semula.
"Kita mesti menghantar mesej-mesej yang baik-baik, mesej-mesej yang menggembirakan hati orang, jangan bercakap sesuatu yang kadang-kadang menyakitkan hati orang, orang marah menyampah dengan kita," katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 yang berlangsung di ibu negara pada Sabtu.
Selain itu, dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota yang akan datang, Mohamad turut mengingatkan pemimpin dan ahli UMNO untuk tidak sesekali mendabik dada susulan kemenangan dalam PRK DUN Nenggiri di Kelantan baru-baru ini.
Ini kerana kerja yang lebih kuat diperlukan bagi mengekalkan kemenangan di kerusi itu selain menggesa ahli UMNO untuk sama-sama turun padang membantu memenangkan calon Barisan Nasional yang akan dinamakan kelak.
"Kita akan bertemu semula di Mahkota, Mahkota menunggu kita, Johor menunggu kita.
"Betul kita menang PRN yang lalu tetapi masa Pilihan Raya Umum (PRU), prestasi di situ tidak membanggakan jadi kita kena berhati hati.
"Jangan ingat menang, kita boleh senang-senang menang, jangan ingat menang di Nenggiri kita boleh senang-senang menang di Mahkota.
"Padangnya lain belalangnya pun lain, cara dia bermain pun lain, jadi turunlah ramai ramai bantu," tambahnya.
Menerusi PRK DUN Nenggiri pada pertengahan Ogos lepas, calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mencatatkan kemenangan bergaya apabila berjaya memperoleh 9,091 undi berbanding calon Pas, Mohd Rizwadi Ismail yang meraih 5,739 undi.
#PAU 2024 #UMNO #Datuk Seri Mohamad Hasan #orang Melayu