PAU 2024: Pemerkasaan ekonomi Bumiputera, penstrukturan semula parti antara agenda utama
Bernama
Ogos 21, 2024 18:02 MYT
Ogos 21, 2024 18:02 MYT
KUALA LUMPUR: Pemerkasaan ekonomi bumiputera dan penstrukturan semula jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) adalah antara agenda utama Perhimpunan Agung UMNO 2024 yang bermula hari ini hingga Sabtu.
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata perhimpunan kali ini juga penting untuk mengukuhkan rasa kebersamaan dalam kalangan pimpinan dan ahli-ahli akar umbi parti itu.
"Kita mempunyai pelbagai fokus kali ini. Setiap sayap mempunyai agenda tersendiri untuk memperkukuhkan parti. Ini adalah hasil daripada kemenangan (Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri) Nenggiri, yang membangkitkan semangat kita semula.
"Walaupun ia (PRU16) masih jauh, tetapi persiapan harus dimulakan dari sekarang. Yang paling penting adalah kebersamaan dalam kalangan kepimpinan dan ahli UMNO, dengan semangat yang babaru dalam situasi yang berubah. Pemangkinnya, sudah tentu kemenangan di Nenggiri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan pertandingan akhir Pidato Piala Datuk Nurul Amal di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata perhimpunan kali ini juga akan menjadi medan untuk menterjemahkan pelaksanaan agenda nasional dari peringkat pimpinan tertinggi parti sehingga ke peringkat akar umbi.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata beliau menghormati kenyataan yang dibuat Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang menzahirkan kemurkaan terhadap tindakan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana memperlekeh dan mempertikaikan tugas serta peranan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.
"Tentunya ini adalah kesan dari keceluparan yang membangkitkan isu tersebut. Mungkin Muhyiddin tidak menerima hakikat bahawa titah untuk mewujudkan Kerajaan Perpaduan adalah dengan niat Tuanku ketika itu untuk menyatupadukan semua parti bagi mengelakkan ketidakstabilan politik," kata Timbalan Perdana Menteri itu.
Sementara itu, menerusi hantaran di Facebook, Ahmad Zahid berharap agar segala perbincangan dan keputusan pada perhimpunan kali ini akan membawa kebaikan bukan sahaja kepada parti, tetapi juga kepada rakyat serta negara secara keseluruhannya.
"Selamat bersidang saya ucapkan kepada para perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO ke Perhimpunan Agung UMNO 2024.
"Jadikanlah Perhimpunan Agung UMNO 2024 ini sebagai medan terbaik untuk kita memperkukuhkan saf perjuangan, meningkatkan semangat muafakat dan menyusun strategi demi kejayaan parti yang kita cintai ini," katanya.
-- BERNAMA