PAU 2024: Mood sudah positif, tetapi ‘self-criticism’ tidak boleh terhenti - Presiden UMNO
Firdaus Azil
Ogos 24, 2024 21:06 MYT
Ogos 24, 2024 21:06 MYT
KUALA LUMPUR: Suasana dan mood yang ditunjukkan oleh para perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2024 seperti sudah kembali positif, dan memuncak dengan idea dan pandangan yang luar biasa daripada para perwakilan, kata Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Namun beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, parti itu harus terus melakukan muhasabah diri atau ‘self-criticism’, bagi memastikan ia kembali mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.
Tegasnya lagi, self-criticism itu harus dilakukan berdasarkan fakta bahawa biarpun UMNO dan Barisan Nasional (BN) telah menjadi tulang belakang kepada pembangunan negara sejak 62 tahun lepas, namun realiti harus mengingatkan mereka bahawa UMNO itu tidak maksum atau sempurna.
“Kita harus melakukan satu muhasabah, ‘self-criticism’ terhadap pengakuan bahawa UMNO selama 62 tahun menjadi tulang belakang kerajaan negara ini, namun kita tak maksum atau sempurna.
“Self-criticism (penting) bagi kita melihat kelemahan untuk diperbaiki dan realitinya,” katanya kepada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 yang berakhir pada Sabtu.
Dalam pada itu Ahmad Zahid terus menekankan kepentingan tentang perubahan pendekatan, terutamanya mendakapi teknologi baharu dalam komunikasi politik, dengan tujuan untuk mendekati dan menyantuni para pengundi, terutamanya di kalangan pengundi muda.
“Pendekatan baharu yang selama ini mungkin terlepas pandang atau tidak (begitu) fokus. Jadi kita ucap terima kasih kepada Pemuda dan Puteri, dan juga Wanita yang juga gunakan pendekatan yang sama,” katanya lagi.
Selain itu Ahmad Zahid berkata, 13 wakil-wakil UMNO dan BN di dalam kerajaan, sama ada sebagai menteri atau timbalan menteri, akan memberi tumpuan kepada portfolio masing-masing dalam memastikan agenda parti dapat dijadikan sebagai dasar kepada kerajaan.
“Tanpa kita tinggalkan rakan-rakan lain dalam Kerajaan Perpaduan dan kaum dan bangsa serta agama. Kami ambil pendekatan yang berbeda di mana biarpun UMNO adalah parti Melayu dan Islam, yang lain tak akan terpinggir.
“Malah kita tahu bahawa rakan-rakan di Sabah dan Sarawak kita santuni, dan amat perlu lihat bahawa perimbangan kemajuan Semenanjung, Sabah dan Sarawak mesti diseimbangkan.
“Walaupun kita tidak sebut dalam perbahasan kali ini, tapi sebagai Menteri Persekutuan yang wakil BN kita akan terjemahkan dalam bentuk perlaksanaan,” katanya lagi.