PAU 2023: DAP hormati keputusan Pemuda UMNO

Sinar Harian
Jun 4, 2023 15:53 MYT
Nie Ching (tengah) menyaksikan tayangan filem Polis Evo 3 bersama Komuniti Polis Kulai pada Ahad. -Foto Sinar Harian
KULAI: DAP tidak berkecil hati sebaliknya menghormati keputusan Pemuda UMNO yang tidak menjemput parti lain dalam Kerajaan Perpaduan ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) bagi sayap itu yang akan berlangsung minggu depan.
Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching berkata, setiap sayap parti mempunyai pandangan, pendekatan dan kaedah berbeza yang perlu difahami setiap parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.
"Apa juga keputusan yang dibuat UMNO mahupun sayap Pemuda, Puteri dan Wanita, kami sebagai rakan dalam Kerajaan Perpaduan terima dan hormati. Itu adalah hak UMNO.
"Sekiranya dijemput, kami ucapkan terima kasih, namun tidak akan berkecil hati jika tiada undangan kerana itu adalah hak mereka sebagai penganjur dan mungkin ada faktor-faktor tertentu," katanya
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan tayangan filem Polis Evo 3 bersama Komuniti Polis Kulai, di sini pada Ahad.
Pada Sabtu, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Salleh menegaskan keputusan tidak menjemput wakil mana-mana parti ke Perhimpunan Pemuda UMNO sempena PAU 2023 merupakan keputusan diambil bersama oleh semua barisan Exco dan Ketua Pemuda UMNO negeri.
PAU 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) bermula 7 hingga 10 Jun ini bakal mencipta sejarahnya tersendiri apabila ia akan turut dihadiri pimpinan tertinggi DAP dan juga Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Kesemua presiden parti dalam Kerajaan Perpaduan, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadiri PAU 2023.
Dalam pada itu, Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai memberitahu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan komitmen yang cukup tinggi dalam Kerajaan Perpaduan.
"Kami boleh rasa, Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO sudah memberi kerjasama dan semangat yang cukup tinggi terhadap kerajaan yang diterajui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Komitmen yang diberikan akan memperkuatkan lagi semangat kerjasama semua 19 parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan," katanya. -Sinar Harian
#Teo Nie Ching #Perhimpunan Agung UMNO #Polis Evo 3 #DAP
;