PAU 2023: Asyraf Wajdi 'ajak' mereka yang dipecat datang baharui samping UMNO
Umavathi Ramayah
Jun 2, 2023 14:19 MYT
Jun 2, 2023 14:19 MYT
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki secara berseloroh 'mengajak' mereka yang dipecat daripada parti itu untuk datang memperbaharui kain samping UMNO mereka pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023, yang akan berlangsung mulai 7 Jun ini.
"Kita tidak pernah menghalang mereka untuk datang ke Dewan Merdeka (Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur). Siapa pun boleh masuk, cumanya sudah tentu perwakilan sahaja.
"Mereka dijemput untuk datang ke Dewan Merdeka, kita ada 82 booth (reruai) karnival jualan, dia nak beli samping atau memperbaharui samping UMNO pun boleh," katanya pada sidang media di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini, pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada individu yang dipecat dari UMNO akan dijemput bagi menghadiri PAU kali ini atau sebaliknya.
Antara yang dipecat adalah bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar.
Selain itu, UMNO turut menggantung keahlian beberapa pemimpin lain antaranya ialah bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan selama enam tahun.
Keputusan pemecatan dan penggantungan itu dibuat atas pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan UMNO kerana kesalahan sewaktu Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.
Dalam pada itu ketika ditanya mengenai bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abd Samad yang mahu kembali menyertai UMNO, Asyraf Wajdi berkata, UMNO mengalu-alukan 'kemunculan' semula beliau.
"UMNO tidak pernah pecat beliau, beliau yang keluar daripada parti dan bertanding dan akhirnya dia yang memohon, kita parti yang terbuka dan kita sedar bahawa realiti hari ini, parti tidak boleh menyekat mana-mana pihak selagi mereka ingin menyumbang untuk memperkukuhkan UMNO.
"Saya tak menjangkakan beliau nak buat come back dalam konteks politik, cuma bagi orang yang mempunyai pengalaman yang panjang dan sentimental yang tinggi, mungkin beliau mahu terus kekal dalam UMNO," ujarnya.
Mohd Isa, 74, mengumumkan keluar UMNO pada 27 September 2018 untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson sebagai calon Bebas ketika Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan calon.