PAU 2022: UMNO dalam keadaan genting jika jawatan Presiden tidak dicabar - Penganalisis

Astro Awani
Disember 14, 2022 20:16 MYT
UMNO berada dalam keadaan genting pada masa akan datang sekiranya Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kekal tanpa dicabar pada pemilihan parti itu tidak lama lagi - Foto/Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: UMNO dilihat berada dalam keadaan genting pada masa akan datang sekiranya jawatan Presiden kekal tanpa dicabar pada pemilihan parti itu tidak lama lagi.
Geostrategis dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Azmi Hassan berkata, situasi itu boleh berlaku jika bersandarkan kepada pengamatan pengundi yang tidak gemar kepada Presiden atau sentimen majoriti rakyat yang menolak parti ada kaitan dengan skandal rasuah.
Beliau berkata, jika pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu Barisan Nasional (BN) hanya mampu memenangi 30 kerusi, besar kemungkinan dalam masa tiga atau empat bulan lagi ketika menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), parti itu tidak lagi berupaya untuk bangkit kembali.
"Jika benar seperti analisis pengundi tak suka dengan Presiden atau pengundi tak suka dikaitkan parti ada kaitan dengan rasuah, maka besar kemungkinan kalaulah Presiden kekal tanpa dicabar, UMNO akan berada dalam kedudukan agak genting dalam masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Rabu.
LIHAT KEPUTUSAN PRU15 DI SINI
Beliau mengulas pandangan Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang menyatakan survival dan imej UMNO akan merosot teruk jika dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.
Sebelum ini, Ketua UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Md Jamal Yunos mencadangkan satu usul dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 bulan depan, agar jawatan Presiden dan Timbalan tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.
Azmi berkata, ada yang berpendapat bahawa merosotnya UMNO terutama sekali selepas PRU15 dengan hanya memperoleh 30 kerusi adalah disebabkan Presidennya.
Justeru, katanya, terdapat gerakan menukar Presiden dan harapan untuk menukar jawatan itu melalui pengunduran sendiri Datuk Seri Ahmad Zahid dilihat sukar kerana beliau ketika ini menjawat Timbalan Perdana Menteri.
Dalam hal ini, kata beliau, caranya ialah jawatan Presiden itu dicabar sebagai salah satu tindakan rejuvenasi, reformasi dan memberi nafas baharu UMNO kerana pengundi telah pun memberitahu apa pendapat mereka terhadap parti itu.
"(Pada PRU15) pengundi lebih selesa mengundi bukan secara total Perikatan Nasional (PN) tetapi lebih mengundi Pas itu sendiri daripada UMNO kerana UMNO dilihat kepimpinan mereka terbabit unsur rasuah.
"Apabila Jamal mengutarakan cadangan ini, sebenarnya tiada sangat sambutan, tak nampak pemimpin tertiinggi UMNO menyokongnya. Jadi dalam hal ini adalah bagi saya cadangan itu hanya tinggal cadangan yang tidak akan disambut oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sendiri atau akar umbi," katanya.
Hakikatnya, kata beliau, jika mahu mengundurkan Presiden, adalah hanya dengan cara mencabar jawatan itu.
Namun, persoalannya siapakah yang akan mencabar Presiden dan Timbalan Presiden kalau ada.
Sehubungan itu, apa yang akan nampak dalam Perhimpunan Agung UMNO tidak lama lagi sekitar Januari atau Februari ialah hala tuju UMNO iaitu di mana kemahuan akar umbi sendiri kerana yang mampu menukar ialah hanya ahli parti itu.
"Dan melalui pemilihan atau Perhimpunan Agung UMNO itu kita boleh nampak ke mana arah pertukaran itu kerana pengundi telah pun membuat keputusan mereka, sekarang bergantung kepada ahli UMNO itu sendiri," tambahnya.
#Timbalan Perdana Menteri #Zahid Hamidi #Jawatan Presiden UMNO #keputusan PRU15
;