PAU 2021: UMNO perlu berhenti bergantung kepada parti lain - Mohamad Hasan

Astro Awani
Mac 16, 2022 23:48 MYT
Mohamad berkata, meskipun UMNO digelar "itik patah kaki" namun hakikatnya parti itu kini mendapat kembali sokongan orang Melayu. - Gambar Astro AWANI/Mohd Shahir Omar
KUALA LUMPUR: UMNO perlu menghentikan pemikiran gemar bergantung kepada parti lain untuk memerintah, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Mohamad menegaskan UMNO tidak perlu bergantung kepada Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau Pakatan Harapan sebagai talian hayat dan nyawa simpanan.
"Budaya mencari talian hayat mesti dibuang. Jangan sesekali meminta-minta nyawa dari orang lain.
"Dan kita juga mesti berhenti memberi nyawa pada orang lain. Khususnya mereka yang mengemis peluang. Tapi akhirnya menikam kita dari belakang," katanya ketika berucap merasmikan persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) malam ini.
Mohamad berkata, UMNO tidak akan 'bercinta' dengan yang pihak yang 'curang' dalam hubungan kerjasama, serta mereka yang suka bermain 'banyak kolam'.
Malah, beliau menegaskan UMNO tidak akan sesekali berpakat dengan parti yang secara terang-terangan ditubuhkan untuk menggantikan UMNO.
"Semua ini memerlukan keunggulan politik dan hikmah. Bukan hanya tangkap muat seperti pembentukan Perikatan Nasional (PN).
"Katak, sesumpah, itik, segala yang melintas dan terbang di hadapan mereka cekup dan ambil.
"Yang pasti, kita tidak akan mengajak berpakat parti yang secara terang-terangan ditubuhkan untuk menggantikan UMNO. Apa lagi DAP dengan agenda cauvinismenya.
"Dan kepada si mata keranjang, yang bermain pelbagai kolam, mendambakan keuntungan daripada semua dan berasmara dengan pelbagai musuh UMNO, tetapi pada waktu sama cuba bercinta dengan UMNO, pendirian UMNO ialah tidak pada yang curang dan hanya pada yang setia," katanya lagi.
PERKEMBANGAN PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2021
Tambah Mohamad, meskipun UMNO digelar 'itik patah kaki' namun hakikatnya parti itu kini mendapat kembali sokongan orang Melayu.
"Kepada mereka yang mengumpamakan UMNO ini seperti itik yang patah kaki. Kami di sini ingin mengingatkan, gelarlah apa yang sedap sebutannya di bibir.
"Tetapi UMNO akan terus menjadi kaki dan tangan kepada rakyat, malah buat masa ini, UMNO adalah kaki dan tangan kepada kerajaan tumpangan yang ada sekarang," ujar beliau.
#Mohamad Hasan #UMNO #Wanita UMNO #Pemuda UMNO #Puteri UMNO #PAU2021 #PAS #Bersatu #Pakatan Harapan #DAP
;