PAU 2021: Tok Mat tidak pernah beri arahan kepada menteri UMNO - Annuar Musa
Rahimah Abdullah
Mac 18, 2022 20:18 MYT
Mac 18, 2022 20:18 MYT
KUALA LUMPUR : Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menegaskan, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak pernah memanggil atau memberi sebarang bentuk arahan kepada menteri-menteri daripada parti itu bagi membincangkan prestasi mereka dalam kerajaan.
Tegasnya, ia berikutan Timbalan Presiden UMNO itu berhak memberi arahan bagi melakukan penambahbaikan, namun, perkara itu tidak dilakukan.
"Bagi saya, saya nak tahu apa lagi yang parti suruh yang kita tidak buat? Tok Mat sebagai timbalan ketua parti, beliau berhak mengarahkan menteri-menteri sebab kita ini duduk dalam kerajaan mewakili parti.
"Namun, saya tidak pernah dengar sekali pun, sejak sudah beberapa tahun dalam kabinet, Timbalan Presiden panggil kami. Dia boleh panggil menteri sebab Timbalan Presiden berada di (jawatan) atas, kami semua ini di bawah.
"Walaupun dia jauh lebih junior daripada saya, namun dalam parti, dia adalah senior, dia boleh panggil menteri dan beritahu, parti nak lakukan itu, lakukan ini, tetapi sekali pun tidak pernah ada sebarang directive (arahan) daripada Timbalan Presiden.
"Sekurang-kurangnya, kalau parti bagi directive, menteri-menteri gagal melaksanakannya, dia bolehlah bagi markah prestasi," katanya semasa wawancara program Agenda AWANI pada Jumaat.
Sebelum ini, Mohamad dalam ucapan perasmian perhimpunan sayap UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021, menyifatkan prestasi UMNO dalam kerajaan tidak menunjukkan keyakinan yang diharapkan.
Mengulas lanjut, Annuar berkata, tidak adil bagi menteri-menteri UMNO dilabelkan sedemikian, sedangkan tiada sebarang arahan diberikan oleh pemimpin kanan parti itu.
Malah, kata Annuar, sebagai seorang yang sudah berada lama dalam kabinet, beliau lebih arif dalam selok-belok urusan kerajaan berbanding Tok Mat.
"Yang pertamanya saya rasakan ia tidak adil. Satu lagi, kalau dia berada di luar kerajaan, mungkinkah dia tahu selok belok yang kita lalui dalam kerajaan?
"Lagipun, saya sudah lama dalam kerajaan. Saya sudah pegang empat portfolio, dan saya berada dalam kabinet sejak zaman Tun Dr Mahathir (Mohamad) sampailah ke zaman Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
"Rasanya saya tahulah nak menyukat lebih kurang soal prestasi ini. Ini bukan nak defensif, tetapi macam Tok Mat dia suka outright (terang-terangan), tetapi brand (jenama) Annuar Musa ini lebih lagi," tambahnya.
Tegas Annuar, kerajaan ketika ini dipimpin oleh Perdana Menteri dari UMNO dan Naib Presiden parti yang menunjukkan prestasi memberangsangkan.
"Pada saya secara jujur, Perdana Menteri amat perform sebab Perdana Menteri ambil kerajaan dalam keadaan politik tidak stabil, ekonomi dan COVID-19 teruk, selain gabungan dalam Perikatan Nasional (PN) terhuyung-hayang.
"Datuk Seri Ismail Sabri ambil kerajaan, kemudian stabilkan, jalankan program pemulihan COVID-19 dan ekonomi, mula tarik pelabur, ekonomi pulih, dan rakyat senang sekarang ini. Adakah itu kita tak nak memberi kredit kepada kejayaan parti kita?" soalnya.
Malah, Mohamad perlu berterus terang kepada menteri berkenaan terutama kalangan mereka yang berada dekat dengan Timbalan Presiden itu.
"Menteri Kesihatan, adalah timbalan (Ketua UMNO Bahagian Rembau) Tok Mat. Adakah portfolio itu gagal sekarang? Kalau gagal, bisik kepada Khairy itu timbalan dia. Tetapi ramai kata Khairy dan KKM telah menjalankan tugas dengan baik.
"Jadi kenapa kecemerlangan menteri-menteri yang berhempas pulas bekerja kita tak nak beri pengiktirafan? Pada saya, saya cakap terus terang, " katanya lagi.
Justeru katanya, kenyataan Mohamad mengenai prestasi menteri UMNO itu disifatkan sebagai pandangan individu dan beliau menghormatinya.
#Agenda Awani
#Annuar Musa
#Mohamad Hasan
#UMNO
#Timbalan Presiden UMNO
#Menteri UMNO
#Tok Mat
#PAU 2021