PAU 2020: Pemuda dan Puteri perlu tonjol 'ketaksuban akal' dan 'penyatuan Melayu' - Zakaria Dullah

Firdaus Azil
Mac 25, 2021 11:51 MYT
Datuk Zakaria Dullah sifatkan Perhimpunan Agung UMNO 2020 merupakan medan terbaik untuk untuk mencorak hala tuju UMNO dalam kerangka "ketaksuban akal" bukannya berbicara dan berhujah isu-isu "nafsu" yang bersifat remeh-temeh.
KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 yang bakal berlangsung hujung minggu ini wajib dijadikan wadah untuk mengembalikan perjuangan berlandaskan ‘ketaksuban akal’, tegas Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah.
Menurut beliau, gelanggang perhimpunan kali ini, merupakan medan terbaik untuk untuk mencorak hala tuju UMNO dalam kerangka “ketaksuban akal”, bukannya berbicara dan berhujah isu-isu “nafsu” yang bersifat remeh-temeh.
Ujarnya lagi, Pemuda dan Puteri UMNO, selaku generasi pimpinan parti seterusnya, perlu jadikan pentas itu untuk menonjolkan watak kepimpinan UMNO berasaskan “ketaksuban akal” dengan menggaris isu perbincangan dan perdebatan perjuangan Bangsa Melayu.
“Agenda Penyatuan Bangsa Melayu yang telah ditandai dengan gerakkan momentus “Penyatuan Ummah”, “Muafakat Nasional” serta “Perikatan Nasional”, perlu diangkat setinggi mungkin oleh kepimpinan sayap pemuda dan puteri UMNO.
“Mengapa? Ini kerana ketiga-tiga momentus tersebut terbentuk dan terhasil dari kesedaran ketaksuban “akal” mengenai peri pentingnya “penyatuan bangsa Melayu” dalam mendepani masa depan yang semakin mencabar bagi kelangsungan Bangsa Melayu itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
PAU 2020 bakal membuka tirainya Jumaat ini dan buat julung-julung kalinya perhimpunan itu akan diadakan dengan kombinasi secara bersemuka dan melalui maya, bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.
Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO akan dirasmikan Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan di Dewan Merdeka pada 27 Mac.
Sementara, perasmian PAU 2020 oleh Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula pada 28 Mac pukul jam 8.30 pagi di Dewan Merdeka.
Agenda AWANI: Menjelang PAU 2020 | Perspektif pergerakan Pemuda UMNO
Mengulas lanjut, Zakaria berkata, jika agenda ‘ketaksuban akal’ dan ‘penyatuan Bangsa Melayu’ dapat ditonjolkan dua sayap berkenaan, beliau percaya ia bakal memberikan “signal” positif terhadap anak muda di luar UMNO, dalam menilai corak dan watak hala tuju kepimpinan UMNO selaku “Abang Long” kepada perjuangan bangsa Melayu di negara ini.
“Sekiranya watak “ketaksuban akal” dan “penyatuan” bangsa Melayu dapat mewarnai PAU 2020 hujung minggu ini, saya percaya proses perundingan untuk “menyatukan” bangsa Melayu di bawah satu wadah perjuangan yang “utuh” bakal disambut oleh kepimpinan Melayu yang berada di luar UMNO, khususnya PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan Pas dengan lebih konkrit.
“Ini sangat penting untuk UMNO dalam mendepani PRU15, UMNO dalam keberadaannya masa kini, secara peribadi saya melihat tidak mampu untuk “mendayung” bersendirian dalam berhadapan dengan “ombak” dan “gelombang” yang sangat kompleks untuk diharungi,” tegasnya lagi.
Zakaria berkata, sikap-sikap bermuhasabah, bermuafakat, bertolak-ansur dalam kalangan kepimpinan Melayu pasca PRU14 penting bagi memastikan keberadaan Bangsa Melayu itu kekal seperti mana ungkapan Laksamana Hang Tuah iaitu “tak akan Melayu hilang di dunia”.
#Zakaria Dullah #PAU 2020 #UMNO #PRU14 #Pemuda UMNO #Puteri UMNO #keselamatan #pemuda #Majlis Keselamatan Negara #Malaysia #PAS #perhimpunan
;