PAU 2020: Kombinasi bersemuka dan maya - Ahmad Maslan
Astro Awani
Mac 23, 2021 14:28 MYT
Mac 23, 2021 14:28 MYT
KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) mencatatkan sejarah tersendiri kerana buat julung-julung kalinya akan diadakan secara kombinasi bersemuka dan maya.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menjelaskan, ia bakal diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur dan secara maya di 190 UMNO bahagian.
"Perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO akan dirasmikan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di Dewan Merdeka pada 27 Mac.
"Perasmian PAU 2020 oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula pada 28 Mac, jam 8.30 pagi di Dewan Merdeka.
"Selepas ucapan perasmian, ketua-ketua sayap akan menyampaikan ucapan dasar di dewan ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, perbahasan sayap adalah berdasarkan ucapan dasar presiden yang antara lain menyentuh politik, agama, sosial, agama, antarabangsa dan isu semasa.
Menurutnya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Wilayah Persekutuan meluluskan perhimpunan berkenaan 19 Mac lalu.
Tambahnya, tiada gerai jualan dan kenderaan saji dibenarkan beroperasi pada PAU 2020 ini.
Ujarnya, UMNO akan mematuhi segala Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal.
Dalam pada itu kata Ahmad, petugas media diberikan taklimat berkaitan SOP liputan PAU 2020.
"Untuk kali ini, tiada petugas media dibenarkan membuat liputan di dalam dewan seperti kebiasaannya," jelasnya.
PAU 2020 akan diadakan pada 27 dan 28 Mac ini.
Sebelum ini, Ahmad mengumumkan penangguhan perhimpunan itu yang dijadualkan berlangsung pada 30 dan 31 Januari, selaras dengan proklamasi darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan.
#SOP
#UMNO
#perhimpunan
#pelitup muka
#PKP
#WTC
#Perhimpunan Agung UMNO
#Ahmad Maslan
#pandemik
#sidang maya