PAU 2018: Rakyat mula sedar mereka 'dikencing' - Ketua Puteri UMNO

Firdaus Azil
September 29, 2018 15:28 MYT
ZAHIDA: Mereka yang bertindak meninggalkan UMNO pasca PRU14 tidak ubah seperti 'pelacur politik' yang tidak bermaruah. - BERNAMA
Dalam tempoh empat bulan, rakyat mula menyedari bahawa segala yang dijanjikan Pakatan Harapan, terutamanya dalam manifesto pilihan raya umum (PRU) yang lepas, hanya sekadar cakap-cakap kosong, dakwa Ketua Puteri UMNO Datuk Zahida Zarik Khan.
Menggelarkan itu sebagai 'penipuan persepsi', beliau berkata, permainan itu bukan sahaja memperdaya mengaburi mata orang kampung, malah ia berjaya memperdaya masyarakat bandar dan mereka yang berpendidikan tinggi.
"Hari ini, kita melihat penipuan persepsi tadi semakin terungkai satu persatu, apabila rakyat semakin terasa, selama ini mereka yang 'dikencing'.
"Ada juga sebahagian dari rakyat yang mempertahankan keputusan dahulu kerana merasakan masa berbulan madu belum selesai. Masa honeymoon, semuanya indah. Kalau kita beritahu belakang ada kurap, dia kata itu hanya panau. Kalau ada kudis di belakang telinga, dia kata itu jerawat sahaja.
"Bahkan ada yang mengatakan mereka memilih kerajaan baru bukan kerana janji, tetapi hanya untuk melihat kita dijatuhkan," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar beliau sempena Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Zahida berkata, apabila tiba masanya, seluruh rakyat akan mengetahui keupayaan kerajaan baharu yang sebenarnya apabila topeng yang dipakai ditanggal satu per satu.
Menyentuh mengenai sikap segelintir pemimpin UMNO yang memilih untuk meninggalkan parti itu pasca PRU lepas, Zahida berkata, mereka ini tidak ubah seperti 'pelacur politik' yang tidak bermaruah.
BACA: Tok Pa keluar UMNO
BACA: Selepas Tok Pa, Anifah Aman umum keluar UMNO
BACA: Syed Ali pula tinggalkan UMNO
"Kita saksikan juga golongan pelombong politik, iaitu orang yang hanya berpolitik sekiranya dapat meraih faedah peribadi seberapa banyak yang boleh. Bahkan ketika ini, kita juga dapat melihat mereka yang mendapat kedudukan dari UMNO, tetapi menjual kedudukan itu kepada musuh.
"Pengalaman ini juga merupakan satu petunjuk untuk membezakan di kalangan kita, antara 'PEJUANG SEJATI' DAN 'PEJUANG JADIAN'. 'Pejuang sejati' ialah yang kekal dalam apa jua keadaan. 'Pejuang jadian' hanya muncul di kala senang dan menang, tetapi, lari ketika susah dan kalah," ucapnya lagi.
BACA: Saman saja 'pengkhianat' yang tinggalkan UMNO - Asyraf Wajdi
BACA: Sayap UMNO desak wakil rakyat pulangkan kerusi jika ingin keluar parti
Dalam usaha menuju ke hadapan, Zahida menyeru agar Puteri UMNO melakukan anjakan paradigma bagi merelevankan pergerakan mereka kepada generasi muda khususnya mahasiswi dan wanita muda.
"Mind-setting kita mestilah sebagai pembangkang, bukan lagi kerajaan. Gerak kerja berorientasikan khidmat bukan lagi keutamaan, tetapi berorientasikan pembinaan minda ahli dan pengurusan persepsi rakyat terhadap kita dan kerajaan yang memerintah.
"Puteri UMNO akan menjadi suara dan deria untuk memperjuangkan segala masalah wanita muda, penderitaan rakyat dan menegur kerajaan hari ini secara membina dan konstruktif," katanya lagi.
#berita politik #Manifesto #Pakatan Harapan #Perhimpunan Agung UMNO #pilihan raya #politik #PRU #Puteri UMNO #UMNO #Zahida Zarik Khan
;