Patuh sepenuhnya keputusan dalam PAU2020 - Zahid Hamidi

Ridauddin Daud
Mac 28, 2021 13:02 MYT
Ahmad Zahid berkata, mengikut Perlembagaan parti, PAU adalah badan tertinggi dalam UMNO dan tidak seharusnya ada pertikaian berhubung keputusan dicapai. - Gambar Astro AWANI/SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR : Pemimpin dan segenap lapisan akar umbi UMNO perlu menerima setiap keputusan dan dasar ditetapkan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU2020).
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, mengikut Perlembagaan parti, PAU adalah badan tertinggi dalam UMNO dan tidak seharusnya ada pertikaian berhubung keputusan dicapai.
“Tidak harus ada dakwa-dakwi di luar sana bahawa UMNO berada di persimpangan. UMNO tidak berada di persimpangan.
“Keputusan dibuat dalam PAU ini adalah jelas bahawa kita telah ambil keputusan besar. Persidangan tadi bukan hanya diikuti delegasi, perwakilan di Dewan Merdeka dan dewan lain.
BACA: Presiden, MKT UMNO boleh tentukan bila untuk tarik diri dari PN - Zahid
“Tapi ia juga diikuti 58 perwakilan yang bersidang di 190 bahagian di seluruh negara yang dilakukan secara maya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai ucapan penggulungan PAU2020 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Ahad.
[SIDANG MEDIA] Presiden UMNO | 28 Mac 2021
Beliau terdahulu berkata, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah menerima mandat untuk tentukan tarikh yang sesuai bagi kesemua pemegang jawatan utama dalam kerajaan daripada UMNO, untuk melepaskan kedudukan mereka.
Sewaktu berucap menggulung PAU2020 malam ini, beliau berkata, mandat itu akan digunakan bagi memastikan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, membubarkan Parlimen mengikut tarikh yang sesuai.
BACA: PAU2020: Pas komited pertahan penyatuan ummah - Timbalan Presiden
Katanya lagi, beliau yakin baik menteri, timbalan menteri, ataupun pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan akur pada keputusan MKT.
“Kalau ini keputusan mereka (PN), saya yakin rakan kita dalam MKT, yang mandat diberikan kepada kita… menteri, timbalan menteri, pengerusi GLC, dan semua Ahli-ahli Parlimen UMNO, akan 100 peratus akur pada keputusan parti untuk tarik diri dari Perikatan Nasional.
“Kalau tarik diri, ini merupakan keputusan parti. Mereka tidak akan gusar untuk letak jawatan sebagai menteri, timbalan menteri dan pengerusi GLC demi mematuhi keputusan dibuat parti,” katanya lagi.
#Zahid Hamidi #UMNO #PAU2020 #perhimpunan agung #Presiden UMNO #Muhyiddin Yassin #PAS #GLC #Perdana Menteri #kerajaan #Parlimen #presiden #letak jawatan #menteri