Pastikan wang royalti minyak hanya untuk rakyat - Bersatu Terengganu
Sharom Abu Bakar
Disember 22, 2018 20:07 MYT
Disember 22, 2018 20:07 MYT
Pastikan wang royalti petroleum dibelanjakan untuk pembangunan rakyat Terengganu dan bukan untuk kepentingan parti.
Itu tegas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Senator Datuk Razali Idris, yang berharap Kerajaan Pas Terengganu tidak melayan desakan agar wang royalti disalurkan untuk tujuan politik.
Menurutnya, setakat ini Kerajaan Pusat melalui Kementerian Kewangan telah menyalurkan wang royalti berjumlah RM450 juta dengan bayaran terakhir pada awal bulan ini.
"Pakatan Harapan (PH) bertindak sebagai pemerhati. Kalau sekiranya kita dapat maklumat atau kita dapat lihat wang itu mengalir ke negeri lain untuk gerakan parti politik atau apa-apa selain dari rakyat Terengganu, maka kita akan buat laporan.
"Kita akan buat desakan supaya pembayaran royalti minyak tidak lagi terus kepada Kerajaan Negeri Terengganu dan kita akan tuntut satu kaedah baru yang kita akan bincang dengan Kerajaan Pusat," kata Razali.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penyampaian bantuan persekolahan di Dungun pada Sabtu.
Tambahnya, Bersatu bersama gabungan PH akan memantau segala bentuk perbelanjaan dari hasil wang royalti petroleum.