Pastikan Pelangai terus jadi kubu kuat BN - Mohamad

Bernama
September 20, 2023 21:40 MYT
Mohamad berkata kemenangan BN akan meneruskan momentum kemenangan yang dicapai calon Kerajaan Perpaduan pada PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di Johor, 9 Sept lepas. - Gambar fail/FB Mohamad
BENTONG: Jentera Barisan Nasional (BN) perlu menyantuni setiap pelusuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, bagi memastikan kawasan itu terus menjadi kubu kuat parti itu di Pahang.
Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan berkata semua ahli juga perlu menyokong sesiapa sahaja yang dipilih kepimpinan BN, dan tidak mengamalkan 'cah keting' kerana mereka membawa bendera parti dan bukannya bertanding atas kapasiti individu.
"Jangan ada sengketa, sebaliknya kena muafakat supaya tidak kecundang, kekalkan rekod kita di Pelangai supaya terus menjadi kubu BN, dan mengekalkan kemenangan di sini sejak lama dulu.
"Kita perlu memastikan majoriti yang dimenangi Datuk Seri Johari Harun (penyandang DUN Pelangai) dikekalkan atau lebih baik," katanya.
Mohamad yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Jentera BN Pilihan Raya Kecil (PRK) N.36 Pelangai di Simpang Pelangai di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi BN negeri Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Menteri Besar Pahang.
Beliau berkata kemenangan BN juga, akan meneruskan momentum kemenangan yang dicapai calon Kerajaan Perpaduan pada PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di Johor, 9 Sept lepas.
Ditanya mengenai peratusan mengundi yang kurang memberangsangkan sejak kebelakangan ini, Mohamad menyifatkan perkara itu sebagai 'biasa pada mana-mana PRK' kerana pengundi beranggapan undian mereka tidak membawa banyak perubahan.
"Yang penting adalah untuk kita pastikan semua ahli UMNO di sini yang lebih 3,000, keluar pada hari pengundian. Kalau semua mereka keluar, lebih 20 peratus (undi) sudah memihak kepada kita dan selebihnya adalah kita tarik pengundi di setiap pelusuk," katanya.
DUN Pelangai mempunyai 16,456 pengundi.
PRK DUN Pelangai akan diadakan pada 7 Okt ini ekoran kematian Johari, 53, akibat nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada petang 17 Ogos lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon berlangsung pada Sabtu ini, manakala 3 Okt sebagai hari undi awal.
Pada PRU15, Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon PN Kasim Samat, calon PH Ahmed Wafiuddin Shamsuri dan calon Pejuang Isa Ahamd.
-- BERNAMA
#DUN Pelangai #hari penamaan calon #pesawat terhempas #cah keting
;