Pastikan berkualiti jika mahu jadi pemimpin - Penganalisis

Hans Yusoff
Disember 7, 2017 20:18 MYT
Para perwakilan UMNO bersemangat mengibarkan bendera 'Sang Saka Bangsa' sambil menyanyikan lagu Bersatu, Bersetia, Berkhidmat pada Perasmian Perhimpunan Agung UMNO di PWTC. - Foto BERNAMA
Golongan muda dalam UMNO perlu membuktikan mereka mempunyai kelayakan dan kekuatan tersendiri jika ingin diberi kepercayaan untuk menjadi calon pada pilihan raya umum akan datang.
Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Fuad Othman berkata pemimpin muda yang berkualiti serta telah memberi sumbangan besar kepada parti pastinya tidak akan terlepas pandang oleh barisan kepimpinan sekaligus berpeluang cerah untuk berada di barisan hadapan.
Ia bergantung kepada sejauh mana pucuk pimpinan melihat apakah sumbangan oleh golongan muda kepada parti
“Kalau mereka merasakan adalah perlu bahawa proses peremajaan ini disambung dan diperkukuhkan maka saya pasti pucuk pimpinan akan melihat perkara ini lebih serius,” kata Fuad.
Perwakilan Pemuda Sabah, Khairul Firdaus Akbar Khan ketika membahas usul di Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU2017) pada Rabu mendesak wakil rakyat yang telah lama berkhidmat agar memberi laluan kepada muka baharu sekaligus melancarkan proses peremajaan parti.
Sementara itu, Fuad turut berpandangan sudah tiba masa UMNO mewujudkan satu sistem khusus dalam mengetengahkan calon yang akhirnya dapat mewakili suara setiap lapisan masyarakat.
“Perlu ada keseimbangan dalam memilih pemimpin misalnya mewujudkan sistem kuota kerana akhirnya kepimpinan UMNO itu mesti mewakili semua strata dalam masyarakat,” katanya lagi.
#Fuad Othman #Khairul Firdaus Akbar Khan #Malaysia #pemuda #perhimpunan #Perhimpunan Agung UMNO 2017 #Perwakilan Pemuda Sabah #pilihan raya #pilihan raya umum #UMNO #universiti utara malaysia #UUM
;