PasLeak: Kertas siasatan dibuka, individu terlibat akan dipanggil - Ketua Polis KL

Umavathi Ramayah
April 26, 2022 20:00 MYT
Azmi memberitahu, ada antara individu terbabit yang sudah dipanggil memberi keterangan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Polis telah membuka kertas siasatan berhubung dokumen 'PasLeak' yang tular mengandungi dakwaan percaturan politik, termasuk mencampuri urusan mahkamah.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim memberitahu, pihaknya akan memanggil individu-individu yang disebut dalam minit mesyuarat terbabit bagi dirakamkan percakapan.
"Kita sudah memanggil beberapa individu untuk memberi keterangan, namun saya tidak boleh mendedahkan identiti mereka," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Selasa.
PASleak | Annuar Musa perjelas isu kesetiaan terhadap parti
Azmi menambah, pegawai penyiasat sedang menjalankan siasatan berhubung laporan yang diterima dan ia dijangka selesai dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan bila mereka yang berkenaan akan dipanggil untuk membantu siasatan.
BACA: Kandungan 'PasLeak' bukan luar biasa, tidak perlu diperbesarkan - Annuar Musa
BACA: PasLeak: "Hanya loyar buruk layan surat layang fitnah parti" - Abdul Hadi Awang
Sebelum ini, empat keping tangkap layar dokumen didakwa mengenai percaturan politik Pas, antaranya menyentuh mengenai campur tangan dalam urusan mahkamah, menjadi tular di media sosial.
Dokumen yang didakwa diklasifikasikan sebagai sulit itu, didakwa minit mesyuarat Pas yang diwakili oleh Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dengan beberapa pemimpin kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ketika ditanya mengenai perkara itu sebelum ini, enggan mengulas dan berkata, dokumen itu dapat dipastikan kesahihannya.
Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pula menegaskan, walaupun pemimpin-pemimpin Pas dan Bersatu menganggap perkara itu sebagai ‘sampah’ tetapi UMNO melihat sebaliknya.
Beliau menyifatkan PasLeak sebagai paluan gendang perang secara senyap bagi melumpuhkan parti itu dan Barisan Nasional (BN) daripada memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
#PasLeak #politik #Ketua Polis Kuala Lumpur #dipanggil beri keterangan
;