PasLeak: "Hanya loyar buruk layan surat layang fitnah parti" - Abdul Hadi Awang
Nur Fazlizai Ali
April 22, 2022 14:41 MYT
April 22, 2022 14:41 MYT
MARANG: Pas enggan melayan melayan isu PasLeak yang disifatkan sebagai surat layang semata-mata untuk memfitnah parti itu.
Dalam masa sama, Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, tiada keperluan untuknya membuat penafian berkenaan perkara itu kerana penjelasan sudah diberikan Naib Presidennya, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar pada Rabu lalu.
Penyebaran PasLeak tersebut juga, kata Abdul Hadi, tidak menggugat hubungan parti itu dengan rakan
komponen Perikatan Nasional (PN).
Sebaliknya, Ahli Parlimen Marang itu berkata, mereka sentiasa berbincang dari semasa ke semasa.
“Surat layang tak perlu kita layan… masalahnya siapa dia yang buat surat itu? Tak ada guna kita layan surat layang ini… kita jadi melayang sama.
“(Bahkan) saya rasa hanya yang loyar buruk sahaja yang berminat melayan surat layang ini… dari segi undang-undang pun tak lekat surat layang ini ,” tegas Abdul Hadi kepada wartawan selepas menyampaikan kuliah Duha di Masjid Rusil di sini, hari ini.
Terdahulu Ahmad Samsuri dan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan PasLeak sebagai dokumen sampah.
Ia sekali gus menafikan dakwaan wujudnya perbincangan dalaman untuk menjatuhkan Barisan Nasional dan UMNO sebagaimana dokumen minit mesyuarat PN yang tular di media sosial sebelum ini.