“PasDAP, BersaDAP pernah wujud, mengapa UMDAP tidak boleh?” - Saarani

Amirul Aiman
Ogos 24, 2024 10:30 MYT
Saarani mempertikaikan kritikan yang dilemparkan kepada UMNO mengenai kerjasama dengan DAP dengan mengingatkan bahawa kerjasama serupa pernah berlaku sebelum ini - yang beliau gelar sebagai "PasDAP" dan "BersaDAP."
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad mempertikaikan kritikan yang dilemparkan kepada UMNO mengenai kerjasama dengan DAP dengan mengingatkan bahawa kerjasama serupa pernah berlaku sebelum ini - yang beliau gelar sebagai "PasDAP" dan "BersaDAP."
Saarani, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak berkata, pada 2008, Pas bergabung dengan DAP dan PKR bagi membentuk kerajaan negeri Perak.
Beliau menjelaskan, walaupun terdapat usaha untuk membentuk kerajaan dengan kerjasama antara UMNO dan Pas, PAS memilih untuk bergabung dengan DAP dan PKR.
“Budak muda sekarang, kalau umur dia 18 tahun, dia tak tahu cerita ini. Orang dulu tahu ada PasDAP. Itu sejarah.
“Yang keduanya, BersaDAP. Ia berlaku pada tahun 2018, apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad menubuhkan kerajaan Persekutuan dengan hanya 13 kerusi Bersatu, 11 kerusi Parti Amanah Negara (Amanah), bersama 42 kerusi DAP dan 47 kerusi PKR.
“Mahathir jadi Perdana Menteri dengan BersaDAP,” katanya dalam temu bual bersama media.
Saarani berkata, kerjasama UMNO dan DAP patut diberikan peluang, memandangkan kerjasama antara Pas dan Bersatu dengan DAP sebelum ini telah diterima.
Beliau juga menekankan bahawa kerajaan negeri Perak yang terdiri daripada UMNO dan DAP diterajui berjalan dengan baik tanpa sebarang masalah besar, walaupun terdapat perbezaan pendapat.
TAGS: Saarani Mohamad, Pas, Bersatu, UMNO, DAP, Barisan Nasional
#Saarani Mohamad #Kerjasama UMNO - DAP #PasDAP #BersaDAP