Pasca Sarawak 2016: Tun M, terimalah kenyataan rakyat masih sokong Najib - Rahman Dahlan

Astro Awani
Mei 8, 2016 16:43 MYT
Kemenangan 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan adalah isyarat bahawa kepimpinan Najib diterima baik warga Bumi Kenyalang.
Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahman Dahlan menyifatkan kemenangan besar BN di Sarawak sebagai bukti jelas bahawa rakyat menolak kempen anti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
Malah tambahnya, kemenangan 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan adalah isyarat bahawa kepimpinan Najib di peringkat pusat diterima baik warga Bumi Kenyalang itu.
"Keputusan ini adalah bukti bahawa dakwaan bahawa PM perlu diturunkan bagi mengelak BN kalah dalam pilihan raya adalah tidak benar sama sekali.
IKUTI LAPOR LANGSUNG PASCA-SARAWAK 2016 DI SINI
"Rakyat kini boleh nampak keinginan Tun Mahathir untuk menjatuhkan PM tiada kaitan dengan kepentingan negara, sebaliknya demi masa depan anaknya," kata Abdul Rahman dalam satu kenyataan media hari ini.
Justeru itu, beliau berharap agar bekas Perdana Menteri itu menerima realiti yang diterjemah melalui proses demokrasi.
"Tun Mahathir perlu terima keputusan rakyat.
"Beliau akan berkhidmat kepada negara dan legasinya lebih baik dengan menerima bahawa beliau telah gagal," ujarnya.
#Abdul Rahman Dahlan #Dr Mahathir Mohamad #kempen anti Perdana Menteri #sarawak2016
;