Pasca PRU15: Tiada agenda pecat Zahid dalam mesyuarat MKT UMNO - Asyraf Wajdi

Umavathi Ramayah
November 23, 2022 22:01 MYT
Asyraf Wajdi menafikan dakwaan yang mengatakan Mesyuarat Khas MKT UMNO pada malam Rabu diadakan bagi membincangkan agenda pemecatan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menafikan dakwaan yang mengatakan Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada malam Rabu diadakan bagi membincangkan agenda pemecatan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Sebaliknya beliau berkata, kepimpinan parti akan meneliti tawaran dan syarat yang dikemukan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) ke arah pembentukan kerajaan.
"Tidak ada agenda seperti itu (mendesak Presiden) yang minta letak jawatan. Apa yang akan dibincangkan malam ini hanya berkisar tentang tawaran daripada PN dan PH.
"Namun apa yang paling penting adalah titah Yang di-Pertuan Agong, yang menitah supaya BN dapat bentuk kerajaan perpaduan demi rakyat dan kemakmuran negara," katanya ketika ditemui di ibu pejabat UMNO, di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi menjelaskan, 10 Ahli Parlimen yang menyatakan sokongan kepada PN sebelum ini telah mendatangani akuan bersumpah untuk menarik balik sokongan kepada gabungan itu.
Menurutnya, setiap individu yang dicalonkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mendatangani empat dokumen yang mana secara jelas menjelaskan sokongan mereka pucuk kepimpinan parti secara kolektif.
"Ini termasuk memberi mandat kepada keputusan yang diambil presiden parti. Jadi tindakan mereka menyatakan sokongan kepada PN, sebenarnya kalau mengikut dokumen BN yang ditandatangi, mereka sendiri bersetuju untuk melepaskan jawatan dengan melanggar disiplin parti," jelasnya.
Semalam, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilaporkan berkata Ahmad Zahid mesti mendengar luahan dan pandangan pemimpin serta ahli akar umbi yang mendesak beliau untuk berundur daripada parti.
Perdana Menteri berkata Ahmad Zahid tidak wajar menutup telinga, tanpa memberi sebarang kata putus terhadap desakan kepadanya.
#Asyraf Wajdi Dusuki #Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi #pasca PRU15 #mesyuarat khas MKT UMNO
;