Pasca PRU15: Seruan Agong, MRR usaha untuk masyarakat lebih bersatu - Lee Lam Thye

Firdaus Azil
November 24, 2022 16:23 MYT
Rakyat perlu memberi respons yang sama dengan cara menzahirkan sokongan terhadap kerajaan perpaduan, kata Tan Sri Lee Lam Thye.
KUALA LUMPUR: Seruan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk diwujudkan kerajaan perpaduan, jelas mencerminkan usaha baginda untuk masyarakat yang lebih bersatu padu.
Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, melalui usaha itu, masyarakat akan lebih prihatin terhadap mereka yang kurang bernasib baik, tanpa mengira bangsa, agama, pegangan politik atau wilayah.
Katanya lagi, sikap prihatin Yang di-Pertuan Agong jelas dikongsi bersama Majlis Raja-Raja Melayu melalui sesi Perbincangan Khas di Istana Negara hari ini.
“Kini rakyat perlu memberi respons yang sama dengan cara menzahirkan sokongan terhadap kerajaan perpaduan, walaupun hasilnya mungkin tidak seperti mana yang diharapkan.
“Apatah lagi kita semua bersama-sama dalam hal ini. Kita menghadapi masalah yang sama, mempunyai aspirasi yang sama dan berharap dapat hidup secara harmoni antara satu sama lain,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Justeru, Lam Thye berkata, adalah penting untuk semua pihak mengenepikan perbezaan politik, dan saling berganding bahu demi kebaikan bersama.
Katanya lagi, episod ketidak tentuan politik yang berlaku mutakhir ini, jelas mempunyai kesan buruk terhadap ekonomi dan mengakibatkan pelabur luar lebih berhati-hati.
“Ini jelas sesuatu keadaan yang tidak bagus untuk negara bagi jangka masa panjang. Kita perlukan kestabilan dan perpaduan, yang mana kedua-dua faktor ini akan menjadi pemangkin kepada kemajuan ekonomi, serta kesejahteraan hidup.
“Malah, inilah sebab mengapa jumlah rakyat Malaysia yang keluar mengundi adalah jauh lebih tinggi berbanding Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Data menunjukkan jumlah pengundi yang melaksanakan tanggungjawab pada PRU15 sekitar 15 juta orang,” katanya lagi.
Namun, Lam Thye berkata, sudah pasti pembangkang juga mempunyai tanggungjawab yang amat penting untuk dilakukan.
Beliau berkata, pembangkang perlu sentiasa berwaspada terhadap apa sahaja polisi atau tindakan yang tidak kondusif kepada keharmonian yang telah termaktub dalam Rukun Negara.
“Jadi kepada pihak-pihak baik dari kerajaan mahupun pembangkang, kita berharap agar mereka yang mengesyorkan dan mereka yang membangkang, dapat melakukan tindakan itu berdasarkan prinsip demokrasi,” katanya lagi.
#Lee Lam Thye #Kerajaan Perpaduan #Agong #Majlis Raja-Raja
;