Pasca PRU15: Polis nafi kekecohan ahli UMNO di Lenggong, buka kertas siasatan
Abd Razak Mohd Ali
November 23, 2022 12:54 MYT
November 23, 2022 12:54 MYT
IPOH: Polis Perak menafikan kononnya berlaku kekecohan di hadapan pejabat UMNO yang dikaitkan dengan penggabungan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan negeri.
Sehubungan itu, polis membuka kertas siasatan berhubung penyebaran video yang tular di media sosial itu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, berdasarkan siasatan yang dibuat, gambar-gambar itu diambil semasa penugasan di pusat penjumlahan undi pada Sabtu malam.
"Jadi pengguna-pengguna ini amat kreatif, amat pandai dan compilekan menjadi satu cerita bahawa berlaku situasi tidak aman di kawasan Lenggong. Lenggong ini di kawasan MB (Menteri Besar) kita.
"Dikatakan malam itu ada orang nak berkumpul, ada voicemail mengatakan tidak aman, marilah beramai-ramai pergi ke bangunan UMNO di lenggong, rumah MB. Sedangkan tidak, palsu," katanya.
Beliau bercakap dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh, pada Rabu.
Sejak beberapa hari lalu, tular di media sosial, khususnya TikTok kononnya berlaku keadaan tidak tenteram di pejabat UMNO dan Parlimen Lenggong.
Mohd Yusri berkata, beliau telah menggerakkan seluruh jentera untuk memberi penumpuan di kawasan yang dikenal pasti dan mendapati perkara itu tidak berlaku.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak termakan atau terhasut dengan apa yang ditularkan dan mendapatkan fakta sebenar terlebih dahulu.
Dalam pada itu, katanya, polis melakukan sekatan jalan raya (SJR) di 15 daerah polis bagi memastikan keadaan di Perak aman damai dan keselamatan awam terjaga.