Pasca PRU15: PN dakwa terima tambahan satu SD
Azyyati Ahmad
November 22, 2022 11:50 MYT
November 22, 2022 11:50 MYT
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mendakwa menerima satu lagi Surat Akuan Berkanun (SD) daripada seorang lagi Ahli Dewan Rakyat dalam menyatakan sokongan ke atas Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke 10.
Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata SD berkenaan telah dihantar ke Istana Negara pagi ini.
Sebelum ini, Hamzah berkata, Surat Akuan Berkanun (SD) yang dihantar ke Istana Negara pada Isnin adalah melebihi 112 jumlah Ahli Parlimen.
Namun, perkara itu menjadi persoalan kerana masih tidak ada sebarang perkhabaran rasmi dari Istana Negara.
Justeru, situasi semasa itu menyebabkan banyak pihak masih mencongak gabungan parti mana yang boleh membentuk Kerajaan.
Dalam masa sama, kerusi Parlimen Barisan Nasional (BN) dikatakan terus menjadi ‘rebutan’ bagi mencapai majoriti sekurang-kurangnya 112 kerusi untuk membentuk Kerajaan.
Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menunjukkan PN menang 73 kerusi Parlimen dengan Bersatu memperolehi 22 kerusi, Pas 44 kerusi dan ahli langsung PN, 1 kerusi.