Pasca PRU15: 'Pergi tengok wayang' - Anwar

Sinar Harian
November 23, 2022 12:20 MYT
Anwar melambai kepada petugas media ketika menaiki sebuah kereta keluar dari kediamannya. - Foto Sinar Harian
KAJANG: 'Tengok wayang', itu reaksi spontan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditanya berkenaan destinasi yang ditujunya ketika keluar dari kediaman beliau di Bandar Sungai Long pada Rabu.
Ahli Parlimen Tambun itu dilihat keluar dari rumahnya sekitar jam 11.22 pagi dan sempat menyapa petugas-petugas media yang berkampung di hadapan kediamannya sejak jam 9 pagi.
Sebelum itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan yang juga Pengerusi Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) sempat menyapa petugas media sebelum beredar dari kediaman mereka di sini, sekitar jam 11.15 pagi.
"Saya hendak ke hospital sebab ada seorang ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK) semasa berkempen dia telah terlanggar motosikal dan cedera sikit.
"Tangan dia dibedah dan sedang dirawat, jadi saya nak pergi melawat tengok keadaan dia, dah seminggu dia dirawat di hospital," jelas beliau.
Dalam pada itu, ditanya berkenaan sebarang perkembangan berkaitan pemilihan Perdana Menteri, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu secara ringkas mengibaratkan ia umpama permainan menunggu.
"It's a waiting game," katanya ringkas. - Sinar Harian
#PRU15 #Anwar Ibrahim #wayang #Wan Azizah Wan Ismail
;