Pasca PRU15: Pemimpin BN, PN selesai adakan pertemuan tertutup di St Regis
Umavathi Ramayah
November 23, 2022 17:48 MYT
November 23, 2022 17:48 MYT
KUALA LUMPUR: Pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) difahamkan baharu sahaja selesai mengadakan pertemuan tertutup di Hotel St Regis, di sini.
Pertemuan dua jam yang bermula jam 3 petang itu dipercayai hasil persetujuan pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada Selasa malam.
Sumber mendedahkan kepada Astro AWANI, antara wakil BN yang hadir adalah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan.
Turut hadir ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.
Wakil parti Perikatan Nasional (PN) termasuk Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Pengerusi PN,Tan Sri Abdul Hadi Awang; Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Presiden Gerakan, Dominic Lau.
Turut hadir ialah Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Radzi Jidin dan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Sebelum ini, BN mengadakan perjumpaan dengan Pakatan Harapan (PH) bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hotel Seri Pacific, di ibu negara pada Isnin lalu.
Anwar turut dilaporkan berkata, tujuh wakil BN terlibat dalam perbincangan bersama PH. Antara yang hadir ialah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Mohamad Hasan dan Ismail Sabri.